Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenghantar makanan diberi tempoh ihsan letak kenderaan 30 minit mulai 1 Jul
Penghantar makanan diberi tempoh ihsan letak kenderaan 30 minit mulai 1 Jul
12 pusat beli-belah CapitaLand sertai inisiatif bantu ringan beban kos pekerja pengiriman
Penghantar makanan diberi tempoh ihsan letak kenderaan 30 minit mulai 1 Jul
Penghantar makanan, Encik Muhammad Khairil Sapuan, sering berdepan kesukaran mencari tempat letak kenderaan di pusat beli-belah, sedangkan proses mengambil pesanan boleh mengambil masa sehingga 25 minit.
Namun, perkara itu akan berubah kerana mulai 1 Julai, penghantar makanan sepertinya, yang merupakan anggota Persatuan Pejuang Pengiriman Nasional (NDCA), akan menikmati tempoh ihsan meletakkan kenderaan, yang dilanjutkan kepada 30 minit, berbanding 10 minit sebelum ini.
Tempoh ini tersedia di 12 pusat beli-belah CapitaLand yang menyertai inisiatif ini.
Pusat beli-belah tersebut ialah Junction 8, Lot One Shoppers’ Mall, Bedok Mall, Tampines Mall, Sengkang Grand Mall, IMM, Westgate, Aperia Mall, CQ @ Clarke Quay, Funan, Plaza Singapura dan Raffles City.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Encik Khairil berkata: “Apabila kami cuba meletakkan kenderaan, kami sering mendapati tempoh ihsan 10 minit itu tidak mencukupi kerana tempat letak kereta terhad.
“Ada kalanya, kami terpaksa meletakkan kenderaan secara tidak sah kerana akses ke tempat letak kereta pusat beli-belah itu tidak begitu mudah.
“Tambahan pula, kos letak kenderaan sekitar $1 hingga $2 bagi setiap kemasukan, manakala satu pesanan hanya memberi pendapatan sekitar $5 hingga $7. Jadi ia memang mengurangkan pendapatan kami dengan ketara,” ujar Encik Khairil, 34 tahun.
Inisiatif ini diumumkan dalam acara bersama NDCA dan CapitaLand di Tampines Mall pada 5 Jun.
Encik Khairil, yang telah bekerja sebagai penghantar makanan sejak tiga hingga empat tahun lalu untuk menampung perbelanjaan hidup, berkata inisiatif tersebut dapat membantu penghantar makanan sepertinya menjimatkan kos letak kenderaan, dalam keadaan pendapatan mereka yang agak terhad.
Di bawah aturan baharu ini, tempoh ihsan meletak kenderaan akan dilanjutkan daripada 10 minit kepada 30 minit.
Ini bermakna penghantar makanan tidak perlu membayar caj tambahan sekiranya mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mengambil beberapa pesanan makanan di 12 pusat beli-belah tersebut.
Menurut kenyataan media NDCA pada 5 Jun, banyak pesanan yang diterima memerlukan penghantar mengambil lebih daripada satu pesanan dari lokasi yang sama.
Disebabkan keadaan itu, masa menunggu boleh melebihi 10 minit dan penghantar itu perlu membayar caj letak kenderaan, sekurang-kurangnya $1.30 bagi setiap kemasukan.
Mengulas manfaat menjadi anggota NDCA, Encik Khairil berkata:
“Penting menjadi sebahagian daripada kesatuan ini kerana jika bergerak secara individu, perlindungan yang ada terhad.
“Sebagai sebuah kesatuan, kami boleh saling membantu dan bersama-sama memperjuangkan perkara yang memberi manfaat kepada penghantar makanan.
“Kami juga dapat menyalurkan maklum balas secara kolektif kepada syarikat-syarikat besar mengenai perkara yang tidak adil.”
Dalam kenyataan media yang sama, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga Penasihat NDCA, Cik Yeo Wan Ling, berkata pergerakan pekerja sentiasa berteraskan semangat kebersamaan.
Menurut beliau, semakin ramai penghantar makanan yang menyertai NDCA, semakin kukuh keupayaan pihaknya dalam memperjuangkan perwakilan, kebajikan dan manfaat pekerjaan untuk golongan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Komersial CapitaLand Investment, Encik Ervin Yeo, turut berkata dalam kenyataan media tersebut bahawa CapitaLand komited dalam menyediakan persekitaran yang selesa bagi penghantar makanan.
Beliau menambah: “Perkhidmatan penghantaran makanan kini menjadi sebahagian kehidupan seharian. Adalah penting untuk mengiktiraf usaha penghantar makanan yang menyediakan kemudahan kepada pengguna serta membantu perniagaan menjana jualan menerusi saluran tambahan.”
