Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GRC Ang Mo Kio mungkin saksi pertarungan tiga penjuru antara PAP, SUP, PPP

Apr 11, 2025 | 4:11 PM
Setiausaha Agung Parti Bersatu Singapura (SUP), Encik Andy Zhu, berkata partinya bertekad bertanding di kawasan itu meski terdapat “pihak ketiga”, iaitu Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Setiausaha Agung Parti Bersatu Singapura (SUP), Encik Andy Zhu, berkata partinya bertekad bertanding di kawasan itu meski terdapat “pihak ketiga”, iaitu Parti Kuasa Rakyat (PPP). - Foto ST

GRC Ang Mo Kio dijangka menyaksikan pertarungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) selepas dua parti pembangkang gagal mencapai persetujuan mengenai parti mana yang akan bertanding menentang parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Setiausaha Agung Parti Bersatu Singapura (SUP), Encik Andy Zhu, berkata partinya bertekad bertanding di kawasan itu meski terdapat “pihak ketiga”.

Pihak ketiga itu adalah Parti Kuasa Rakyat (PPP), yang menyatakan mereka akan turut bertanding di GRC Ang Mo Kio, diketuai oleh bendahari parti, Encik William Lim.

Bercakap kepada wartawan semasa lawatan di Ang Mo Kio Avenue 10 pada 10 April, Encik Zhu, 42 tahun, berkata SUP telah cuba berbincang dengan setiausaha agung PPP, Encik Goh Meng Seng, namun kedua-dua parti gagal mencapai persetujuan mengenai pihak mana yang akan menarik diri.

“Saya telah bercakap dengannya, dan beliau akan merujuk perkara ini kepada pasukannya untuk pertimbangan... Kami berharap PPP akan menarik diri dari sini,” kata Encik Zhu, yang juga seorang ejen hartanah.

Sebagai respons kepada pertanyaan, Encik Goh berkata beliau telah mengadakan perbincangan ringkas dengan Encik Zhu, tetapi setakat ini mereka belum mencapai persetujuan.

PPP juga menunjukkan minat bertanding di GRC Tampines, di mana Parti Pekerja (WP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dijangka turut bertanding, lapor The Straits Times (ST).

SUP merupakan sebahagian daripada pakatan tidak rasmi parti pembangkang yang dinamakan The Coalition, yang dibentuk pada Oktober 2023. Pakatan itu turut merangkumi NSP, Parti Titik Merah Bersatu (RDU), dan Parti Rakyat Singapura (SPP).

Pasukan PAP di Ang Mo Kio yang diketuai Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah meraih 71.91 peratus undi menentang Parti Reformasi (RP) pada GE2020.

Beberapa anggota SUP, termasuk Encik Zhu, pernah bertanding di bawah pasukan RP dalam GE2020 dan meraih 28.09 peratus undi di GRC Ang Mo Kio.

Encik Zhu berkata SUP telah mula mendekati penduduk di Ang Mo Kio sejak parti itu ditubuhkan pada 2020, dan giat menjalankan pelbagai usaha untuk bermesra dengan penduduk.

Selain lawatan rumah ke rumah bulanan, SUP turut mengagihkan makanan kepada keluarga memerlukan semasa Ramadan, dan mengagihkan limau mandarin sempena perayaan Tahun Baru Cina. 

SUP memilih untuk bertanding di GRC Ang Mo Kio kerana mereka yakin tiada parti pembangkang lain akan bertanding di kawasan itu, dan beliau tidak mahu mengganggu kawasan pihak lain, kata Encik Zhu.

Encik Zhu menambah, beliau tetap dengan pendiriannya untuk bertanding di Ang Mo Kio, dan sudah pun membayar vendor untuk mencetak bahan kempen.

Apabila ditanya sama ada beliau menganggap Menteri Kanan Lee sebagai pencabar yang kuat, Encik Zhu berkata keutamaannya adalah untuk mewakili penduduk dan rakyat Singapura.

Menurut Encik Zhu, slogan pilihan raya SUP, “Melangkah ke hadapan, bersama” melambangkan perpaduan antara parti itu dengan penduduk. SUP akan mengumumkan manifesto pilihan raya dan senarai calon mereka apabila Writ Pilihan Raya dikeluarkan.

“Cabaran utama sekarang ialah kami perlu berdepan dengan PAP dan satu lagi parti. Usaha lebih besar diperlukan untuk menyekat PPP... serta mengetengahkan calon-calon kami dan apa yang mereka boleh sumbangkan kepada penduduk,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg