Buat pertama kalinya, 32 persatuan suku kaum dan pertubuhan agama di Geylang berkumpul untuk menyambut Tahun Baru Cina pada 6 Februari.
Sambutan Musim Bunga Pertubuhan Kebudayaan Geylang dan Persatuan Suku Kaum 2025 itu, yang julung kali diadakan, dihadiri 110 wakil daripada persatuan suku kaum dan pertubuhan agama di Geylang.
Ia diadakan di premis Persatuan Umum Suku Kaum Chang di 23 Lorong 29 Geylang. Kawasan ini termasuk dalam GRC Marine Parade.
Selain persatuan Suku Kaum Chang, turut hadir ialah wakil daripada Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA), Tokong Chong Tuck Tong, Biara Nan Hai Fei Lai Guan Yin, Persatuan Chong Hood Lim, Persatuan Suku Kaum Teochew Hong Long Yeo Singapura, dan Pusat Buddha Vimalakirti.
Idea mengadakan acara itu diilhamkan semasa satu dialog pada Oktober 2024, apabila wakil daripada pelbagai persatuan suku kaum dan pertubuhan agama bertemu Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong. Kedua-duanya juga adalah Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade.
Bercakap kepada The Straits Times (ST), Dr Teo Hark Piang, presiden Persatuan Umum Suku Kaum Chang dan pengerusi penganjur acara itu, berkata dialog tersebut memainkan peranan penting dalam membawa kumpulan-kumpulan itu bersama.
Terdapat lebih 100 persatuan suku kaum di Geylang sahaja, kata Dr Teo. Sesetengah suku kaum yang lebih kecil mempunyai antara 20 dengan 30 ahli, manakala pertubuhan lebih besar, seperti Suku Kaum Chang, mempunyai lebih 1,000 ahli aktif.
“Kami memperkenalkan suku kaum kami kepada menteri dan memberitahu mereka tentang kepentingan suku kaum dalam mempromosikan budaya Cina. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami melihat ramai anak muda datang ke sini untuk mengetahui tentang warisan mereka,” kata Dr Teo.
“Mereka juga melihat peluang menjalin rangkaian di persatuan suku kaum. Kami mempunyai karyawan, golongan pekerja dan pesara – orang dari semua lapisan masyarakat.”
Majlis pada 6 Februari, yang menampilkan bufet makan malam dan lohei, atau melontar salad ikan mentah, juga merupakan kali pertama keempat-empat AP GRC Marine Parade menghadiri acara yang dianjurkan oleh persatuan suku kaum.
Mengiringi Dr Tan dan Encik Tong ialah rakan AP mereka, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Dr Choo Pei Ling, penasihat kedua pertubuhan akar umbi GRC Marine Parade (Kembangan-Chai Chee), turut hadir.
Apabila ditanya bagaimana pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marine Parade bersiap sedia untuk pilihan raya umum yang dijadualkan menjelang November, Encik Tong berkata pasukan itu telah membuat persiapan “sejak pilihan raya lalu” pada Julai 2020.
Beliau menambah bahawa semua platform, termasuk majlis pada 6 Februari itu, adalah penting kepada pasukan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg