Seperti ramai ibu bapa yang sibuk bekerja di Singapura, saya dan isteri bergelut setiap hari untuk mengimbangi tanggungjawab kami di rumah dan di tempat kerja.
Kami tidak pernah mempunyai pembantu rumah, justeru kami biasanya akan bergilir-gilir menghantar dan membawa anak-anak kami pergi dan pulang dari sekolah setiap hari, dan menjaga keperluan mereka di rumah pada waktu malam.
Bagi ibu bapa yang bekerja melebihi waktu pejabat biasa seperti saya, saya akan meneruskan tugasan kerja pada waktu malam sambil menyediakan makan malam untuk anak-anak, mengurus kerja rumah dan mencari masa untuk bermain dengan mereka.
Syukurlah, dalam era digital hari ini, kini mempunyai aplikasi penghantaran mudah alih seperti Grab; saluran penstriman digital seperti Netflix dan Disney Plus; aplikasi permainan seperti Roblox; dan video dalam talian di YouTube dan TikTok.
Teknologi digital baru ini telah membantu meringankan beban kami selama ini, membolehkan anak kami mengisi masa mereka sementara kami menguruskan hal lain.
Sedihnya, beberapa bulan yang lalu, saya menyedari bahawa “kemudahan atau kesenangan” ini telah mengurangkan masa keluarga kami yang amat berharga.
Dengan hanya beberapa klik dari keselesaan rumah, saya dan isteri boleh dengan mudah memesan makanan untuk jamuan makan malam, tanpa perlu keluar dari rumah.
Anak-anak akan makan malam sambil menonton televisyen di latar belakang, manakala saya dan isteri mengurus urusan kerja lain atau menyelesaikan kerja rumah.
Apabila anak selesai makan malam, mereka akan membuat kerja rumah atau latihan lain, dan mengisi masa yang selebihnya dengan menonton televisyen atau bermain permainan di telefon bimbit seperti Roblox.
Itulah rutin biasa mereka dari Isnin hingga Jumaat selepas sekolah tetapi sedihnya, setelah sekian lama kebiasaan dengan tabiat begitu, terlintas di fikiran saya: “Di manakah masa keluarga berkualiti kami?”
Walaupun teknologi telah membantu mengisi masa anak-anak kami, malangnya ia telah mengurangkan masa keluarga kami sendiri.
Mujur, pemerintah mengumumkan pada Januari tentang garis panduan yang lebih ketat dan jelas mengenai penggunaan skrin untuk anak berumur sehingga 12 tahun.
Langkah tersebut termasuk mengehadkan penggunaan skrin di luar sekolah kepada kurang daripada satu jam sehari untuk kanak-kanak berumur antara tiga dengan enam tahun, dan menggandakan tempoh itu untuk bagi mereka yang berumur dari tujuh hingga 12 tahun.
Ibu bapa juga tidak seharusnya memberikan anak mereka akses tanpa had kepada peranti mudah alih, atau sebarang akses kepada media sosial.
Garis panduan yang dipertingkat itu dikeluarkan tepat pada masanya kerana ia seakan berfungsi sebagai peringatan bagi saya untuk menjadi bapa yang lebih aktif, dan bukannya hanya bergantung pada teknologi untuk melayan anak.
Sejak itu, keluarga kami telah mengubah tabiat kami dan kami telah menggunakan garis panduan tersebut sebagai peringatan buat diri kami sebagai ibu bapa dan juga kepada anak kami.
Kini, semasa jamuan makan malam, semua orang akan makan bersama dan kami juga mempunyai peraturan baru –tiada telefon bimbit di atas meja dan tiada sesiapa dibenarkan menonton televisyen.
Bagi saya sekurang-kurangnya – saya perlu berusaha mendisiplinkan diri untuk tidak melihat e-mel saya atau melakukan apa-apa kerja sehingga anak saya sudah tidur.
Ini agar saya dapat menumpukan lebih perhatian kepada mereka tanpa sebarang gangguan, dan juga peluang bagi mereka menjalin hubungan bersama saya.
Saya juga mengingatkan diri saya bahawa walaupun aplikasi Grab telah membolehkan saya memesan makanan dengan mudah, ia tidak sepatutnya menggantikan masa saya bersama keluarga.
Kini, kami juga memastikan kami dapat keluar sesama keluarga untuk jamuan malam setiap minggu supaya kami mempunyai lebih banyak masa berjalan-jalan sebelum dan selepas makan malam.
Pada hujung minggu pula, saya dan isteri akan menjadualkan masa untuk kami sekeluarga keluar bersama-sama untuk bersenam, menonton wayang bersama atau beriadah di taman permainan.
Apabila kanak-kanak ingin menonton televisyen, kami akan mengehadkan jenis rancangan yang boleh mereka tonton serta tempohnya supaya mereka tidak menghabiskan terlalu banyak masa di televisyen.
Saya dan isteri juga akan bersama mereka menonton video yang berkualiti seperti yang berkenaan haiwan, sains dan alam semula jadi.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya gembira usaha kami telah membuahkan hasil.
Anak-anak kini kurang melekat pada peranti mudah alih dan televisyen.
Suka atau tidak, kita kini hidup dalam era baru di mana teknologi digital telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.
Daripada “menyumber luar” tanggungjawab keibubapaan kita kepada teknologi, ibu bapa harus memanfaatkan teknologi dan aplikasi baru.
Ini agar ia dapat membantu memupuk ikatan keluarga kita, dan bukan membiarkan teknologi dan masa skrin untuk menghakis hubungan kekeluargaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg