Pelan Kesihatan yang diperibadikan bagi setiap kanak-kanak sebagai sebahagian daripada program Pemeriksaan Kesihatan Sekolah tahunan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan diperluas untuk merangkumi murid Darjah 4 dan 5 tahun ini.
Ini setelah 22,000 murid Darjah 1 hingga Darjah 3 meraih manfaat daripada program tersebut, yang dilancarkan pada Januari 2025.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang dan pengamalan tabiat sihat.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata program itu akan diperluas agar lebih ramai kanak-kanak dapat meraih manfaat daripadanya.
Menyentuh tentang program tersebut dalam perbahasan mengenai Belanjawan MOH, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata MOH berada pada landasan yang betul untuk melancarkan Pelan Kesihatan kepada semua murid Darjah 1 hingga 3 menjelang akhir 2025.
“Ibu bapa pasti gembira mengetahui bahawa Rancangan Kesihatan akan diperluaskan kepada murid Darjah 4 dan 5. Memandangkan keperluan murid sekolah rendah atas (upper primary) berbeza daripada murid sekolah rendah bawah, kami akan merintis program ini dengan beberapa pelajar tahun ini untuk membolehkan penentukuran Pelan Kesihatan dan sumber sebelum pelaksanaan penuh pada 2026,” kata Encik Masagos.
Encik Masagos turut berkata bermula 2 Mei, MOH juga akan memperkenalkan Senarai Semak Tingkah Laku Kesihatan Kanak-Kanak (CHBC) baru pada lawatan Pemeriksaan Perkembangan Kanak-Kanak (CDS) bagi kanak-kanak berumur sehingga enam tahun di semua poliklinik, klinik pengamal perubatan am dan klinik pediatrik.
Ibu bapa digalakkan melengkapkan senarai semak sebelum atau semasa lawatan.
Ini akan membolehkan mereka membincangkan tingkah laku kesihatan anak mereka berkaitan penggunaan skrin, tidur, aktiviti fizikal dan pemakanan dengan profesional penjagaan kesihatan dan merancang perubahan gaya hidup yang positif di rumah.
Ibu bapa juga boleh meraih manfaat daripada sumber tentang tingkah laku gaya hidup yang disyorkan melalui pautan web dan kod QR yang terdapat pada setiap senarai semak.
“CHBC bertujuan menggalakkan keluarga membina tabiat harian yang sihat dari muda, dan akan melengkapkan Pelan Kesihatan peribadi yang diterima oleh kanak-kanak di sekolah rendah.
“Kami berharap ibu bapa akan memanfaatkan Pelan Kesihatan dan CHBC untuk membina dan mengekalkan tabiat sihat dalam kalangan kanak-kanak sejak lahir hingga tahun-tahun persekolahan.
“Usaha kecil dan konsisten ini boleh membawa perubahan kepada kesihatan anak anda,” ujar Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg