Lelaki di sebalik rangkaian 95 akaun yang diarahkan pihak berkuasa supaya disekat di Singapura di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica, pernah menjadi mogul hartanah.
Guo Wengui, juga dikenali sebagai Miles Guo, Ho Wan Kwok dan pelbagai nama lain, meninggalkan China pada 2014 dan melarikan diri ke Amerika Syarikat, di mana dia mengumpulkan pengikut sebagai pengkritik pemerintah China.
Pada 17 Julai, dia disabitkan kesalahan menipu pengikut dalam taliannya sebanyak AS$1 bilion ($1.34 bilion).
Guo dilahirkan dalam kemiskinan pada tahun 1970-an di wilayah Shandong, China, menurut pelbagai profilnya yang diterbitkan media Barat.
Dia menghabiskan masa selama beberapa ketika di penjara, tetapi kemudian bangkit untuk menguasai satu empayar hartanah, dan menjadi orang terkaya ke-74 di China menjelang 2014.
Sepanjang kerjayanya, Guo memupuk hubungan dengan pegawai perisikan kanan China, Ma Jian.
Ma, mantan naib menteri di Kementerian Keselamatan Negara China, kemudiannya disiasat kerana rasuah.
Pegawai China juga menuduh Guo atas rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah lain, yang dinafikannya.
Guo melarikan diri dari negara itu. Ma pula dipenjarakan seumur hidup.
Sebaik tiba di Amerika untuk mencari suaka politik, Guo mula mencipta nama di media sosial, menggambarkan dirinya sebagai pemberi maklumat anti-Parti Komunis China (CPC).
Pada April 2017, Interpol mengeluarkan “notis merah” bagi penahanan Guo atas permintaan Beijing.
Sementara itu, Guo bertemu dan menjalin hubungan dengan tokoh sayap kanan Amerika seperti bekas ketua strategi mantan Presiden Donald Trump, Encik Steve Bannon.
Pada 2018, Guo dan Bannon mengumumkan rancangan mendapatkan dana AS$100 juta untuk menyiasat rasuah dan membantu orang yang mereka anggap mangsa penganiayaan China.
Pada 2020, mereka mengumumkan penubuhan Negara Persekutuan Baru China, sebuah kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai pemerintah China dalam buangan.
Guo menggunakan pengaruh dan ketokohannya sebagai pengkritik anti-CPC untuk mengembangkan pengikut dalam talian.
Dia akhirnya ditangkap di Amerika pada 2023 atas tuduhan menipu ramai pengikutnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg