Pegangan hidup yang bersyukur seadanya apabila ‘tiada’ dan komited membangun semangat untuk ketengahkan potensi diri agar ‘ada’, menjadi sandaran guru Bahasa Melayu Sekolah Perempuan Crescent (CGS), Cik Norzaidah Suparman, 44 tahun.
Sebagai anak daripada keluarga serba sederhana, Cik Norzaidah, anak kedua dalam enam beradik perempuan, pernah melalui detik getir, dihina kerana berbaju seragam terpakai yang labuh, menapak jauh ke sekolah setiap hari, dan kehilangan bantuan kewangan apabila ayahnya, Encik Suparman Saimon, jatuh sakit.
Allahyarham Suparman meninggal dunia pada usia 56 tahun kerana serangan jantung pada 2013.
Dalam keadaan bapanya sakit, ada masanya beliau berasa seolah-olah dirinya ‘tiada’ atau tidak kelihatan dan tidak dihargai.
Namun di tengah kepayahan, hadir guru-guru yang menjadi cahaya penuntun.
Mereka meminjamkan buku, menghulurkan makanan, dan menyuntik keyakinan dalam dirinya, pendidikan mampu mengubah takdir.
Daripada kasih dan keyakinan itulah, Cik Norzaidah bangkit menjadi pelajar terbaik yang saban tahun mendapat ‘nombor satu’ atau ‘nombor dua’ dalam darjah serta Hadiah Pelajar Terbaik Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Ketika itu, beliau menuntut di Sekolah Rendah Boon Keng di Singapura dan pernah beralih ke Sekolah Kebangsaan Gelang Patah di Johor Bahru, mengikut ibu bapanya yang berpindah ke seberang Tambak.
Beliau juga merupakan pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum meneruskan pelajarannya di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, Pahang, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah di Johor Bahru.
Sekali lagi, beliau merupakan pelajar terbaik bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1998.
Inilah bukti nyata daripada ‘tiada’, lahirlah ‘ada’.
Beliau yang kini ibu seorang anak remaja berusia 18 tahun, kembali ke Singapura pada 1999 dan bekerja di sebuah kilang, sebelum ternampak iklan di akhbar Berita Harian (BH) mengenai kursus Diploma bagi mengajar Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE). Beliau menyertai NIE pada 2000.
Setelah 21 tahun bergelar pendidik dan lebih sedekad menabur bakti di CGS, Cik Norzaidah dicalonkan sebagai finalis Anugerah Guru Arif Budiman atau Agab (Kategori Teladan) bagi guru yang telah mengajar selama 10 tahun atau lebih.
Agab mengiktiraf guru Bahasa Melayu yang cemerlang di sekolah aliran utama, yang berusaha meneroka kaedah pembelajaran di luar bilik darjah untuk menyemai penghargaan lebih mendalam terhadap mata pelajaran tersebut.
Ia merupakan anjuran bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu (PGBM), BH dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
Bagi Cik Norzaidah, setiap murid mesti dilihat, dihargai dan diangkat.
Amanahnya sebagai seorang guru Bahasa Melayu untuk memartabatkan serta meraikan kekayaan bahasa dan budaya warisan, juga perlu diteruskan dengan penuh komitmen.
Di CGS, beliau pernah memenangi Anugerah Sumbangan Pasukan Berkumpulan sebanyak lima kali dalam pelbagai jawatankuasa yang dianggotai, manakala dirinya turut dipilih pelajar sebagai penerima Anugerah Guru Penuh Nyala Rasa, Anugerah Guru Pengasuh dan Anugerah Guru Pencetus Inspirasi.
Di peringkat MOE, beliau adalah penerima Anugerah Kecemerlangan Khidmat, Gangsa (pada 2021), Perak (2022) dan Emas (2023).
Ketika ditemui BH di ibu pejabat MOE di Buona Vista, Cikgu Norzaidah, yang juga ketua guru yang bertanggungjawab menyelaras pasukan pancaragam CGS, berkata:
“Sekiranya saya dikurniakan penghargaan sebagai Guru Arif Budiman, saya ingin menjadikannya peluang untuk berkongsi pandangan dan ilmu bersama penerima terdahulu, agar manfaatnya dapat disebarkan kepada rakan guru dan anak didik.
“Saya berharap usaha tersebut dapat jadi pemangkin untuk semua yang ikhlas berkongsi ilmu, termasuk beberapa orang pelajar saya yang kini menjadi guru, agar berani bermimpi dan berusaha.”
Bagi Cik Norzaidah, menjadi guru bukan sekadar sebagai penyampai ilmu, bahkan juga sebagai insan yang menyemai nilai.
“Saya pernah rasakan diri ini ‘tiada’. Kehidupan saya penuh cabaran sebelum berjaya menjadi guru Bahasa Melayu.
“Hari ini saya berdiri di sini kerana ada guru-guru yang membuat saya rasa ‘ada’.
“Maka amanah saya ialah memastikan setiap murid saya juga tahu bahawa mereka ‘ada’,” ujar beliau, yang aktif dalam bidang penulisan ketika meniti usia remaja dan pernah memenangi Hadiah Sastera Remaja.
Pendekatan beliau menjadikan Bahasa Melayu hidup dengan warna dan irama.
Murid-muridnya berlakon, menghasilkan video muzik dwibahasa, malah mementaskan konsert Hari Raya, yang membolehkan mereka bebas memilih lagu Melayu kegemaran.
Mereka juga dibawa keluar dari bilik darjah, menyusuri khazanah kebudayaan di Kampong Gelam atau rasai suasana desa ketika mengikuti lawatan sambil belajar ke Kampung Haji Dorani, Selangor, dengan harapan agar bahasa Melayu dapat dipelajari secara autentik.
“Pengalaman autentik ini lebih lama melekat dalam ingatan mereka daripada apa sahaja yang tersenarai di dalam buku teks,” jelas Cik Norzaidah yang mengajar Menengah 1 dan 2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Lanjutan.
Beliau turut mengajar pelajar Menengah 4 dalam Program Khas Bahasa Melayu (MSP).
Teknologi turut menjadi rakan strategik.
Daripada kuiz interaktif Kahoot hingga aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti Magic School, beliau menyesuaikan kaedah dengan kecenderungan generasi digital.
“Teknologi bukan sahaja memperkayakan pembelajaran, malah ia memberi ruang kepada pelajar untuk belajar mengikut cara mereka sendiri,” katanya.
Namun, bagi Cik Norzaidah, pendidikan tetap berakar pada nilai.
“Kalau ia berdasarkan sekadar keputusan peperiksaan, saya guru yang gagal. Bagi saya, kejayaan sebenar ialah apabila mereka menggunakan ilmu untuk memanusiakan orang lain,” ujarnya.
Lebih menyerlah, amanahnya sebagai seorang pendidik tidak terhenti di bilik darjah.
Sebagai sukarelawan aktif, beliau mengajar pemimpin akar umbi bertutur dalam bahasa Melayu supaya lebih dekat dengan warga emas, di samping terlibat dalam inisiatif Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Kampong Glam dan M³ Jalan Besar untuk memperkasa belia.
Apabila menerima berita bahawa dirinya finalis Agab 2025, beliau membaca e-mel itu berkali-kali kerana sukar mempercayainya.
“Saya rasa seperti guru biasa sahaja.
“Tapi bila ada orang nampak potensi itu, saya terharu. Ini bukan penghargaan untuk saya seorang, tapi untuk semua yang pernah membuat saya rasa ‘ada’ ketika saya rasa ‘tiada’,” ceritanya lagi.
Beliau sangat berterima kasih atas doa ibunya, Cik Zaiton Pawiro@Jenab Ismail, 65 tahun, dan sokongan suaminya, Encik Roziman Osman, 54 tahun, jurutera kanan di agensi air, PUB.
Memandang ke hadapan, beliau ingin muridnya menjadi seorang ‘Divaa’, bukan dalam erti kata harfiah tetap akronim yang diciptanya sendiri: Disiplin, Ikhlas, Visi, Adab dan Amalan.
“’Divaa’ bermaksud seorang pelajar yang ada disiplin, seorang pelajar yang ikhlas apabila menuntut ilmu, seorang pelajar yang ada visi, seorang pelajar yang beradab dan mengamalkan apa yang dipelajari dalam kelas,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg