Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PA mahu perkasa rakyat, galak sumbang secara proaktif

Sep 29, 2024 | 6:09 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah) bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (kiri) dan Ketua Pengarah Eksekutif Persatuan Rakyat (PA), Encik Jimmy Toh Yong Leng (kanan), melancarkan misi baru PA sempena Seminar Masyarakat 2024 di Our Tampines Hub (OTH) pada 29 September.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah) bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (kiri) dan Ketua Pengarah Eksekutif Persatuan Rakyat (PA), Encik Jimmy Toh Yong Leng (kanan), melancarkan misi baru PA sempena Seminar Masyarakat 2024 di Our Tampines Hub (OTH) pada 29 September. - Foto BH oleh KHALID BABA

Peranan Persatuan Rakyat (PA) perlu berkembang, daripada sebagai penganjur acara dan pemberi khidmat, kepada penyelaras yang menggalak penyertaan aktif rakyat dalam kegiatan akar umbi, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong

Mengulas lebih lanjut, Encik Tong berkata warga setempat ingin menjadi penyumbang dalam usaha kebersamaan dan bukan sekadar penonton atau peserta pasif yang menghadiri program yang dianjurkan semata-mata.

“Mereka ingin PA menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka mengorak langkah (menjadi peserta aktif) di peringkat akar umbi dan memperkasa penduduk untuk tolong antara satu sama lain,” ujar Encik Tong.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam acara tahunan Seminar Masyarakat 2024 anjuran PA di Our Tampines Hub (OTH) pada 29 September.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, selaku tetamu terhormat dan buat kali pertama selaku Pengerusi PA, turut hadir dan menyertai sekitar 2,000 hadirin yang terdiri daripada pemimpin akar umbi dan rakan kongsi PA.

Encik Tong, dalam ucapannya berkata sudah tiba masanya untuk mengolah kenyataan misi dan visi PA.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PA, mengumumkan misi PA yang baru iaitu ‘Mencetus dan Memupuk Penyertaan Masyarakat untuk Singapura yang Penyayang dan Bersatu’ untuk membawa PA mencapai wawasan yang dibentangkan dalam pelan Masyarakat 2030.

Visi PA juga telah diperbarui kepada ‘Negara Yang Menyayangi Masyarakat’.

Dalam kenyataannya selepas acara itu, PA berkata wawasan yang diutarakan Encik Tong bertujuan “mencetus dan memupuk penglibatan masyarakat untuk Singapura yang penyayang dan bersatu”.

Ini di samping agar PA terus kekal relevan dengan “keperluan berubah dan aspirasi kian berkembang bagi warga Singapura”, tambah kenyataan itu.

Di bawah pelan Masyarakat 2030 ini, PA antara lain akan membangun Piagam Belia pada 2025 untuk mendorong belia tampil dan bertindak terhadap isu dalam masyarakat yang dekat dalam hati mereka.

PA juga akan terus membangun skim Relawan Masyarakat yang dimulakan dalam 2022 untuk mendorong rakyat memberi sumbangan secara tidak rasmi.

Buat masa ini, ada lebih 15,000 relawan dalam masyarakat, termasuk 40 peratus belia. Lebih $300,000 dalam bentuk geran telah diagihkan untuk menyokong 247 projek masyarakat.

Sementara itu, PA akan bekerjasama dengan GovTech untuk mencipta Portal Masyarakat yang bertujuan mendekati penduduk dengan maklumat lebih tersesuai.

Antara lain, penduduk boleh memperoleh maklumat mengenai peluang pekerjaan serta kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan menerusi Rangkaian Penduduk (RN).

Selain itu, ‘Aplikasi GRL@PA Mobile’ juga dilancar. Ia boleh digunakan oleh Pemimpin Akar Umbi (GRL) dalam usaha relawan mereka mengikuti kegiatan atau program yang dijalankan.

Encik Tong berkata misi PA, yang sebelum ini ialah ‘Membina dan Menghubungkan komuniti demi mencapai Satu Warga, Satu Singapura’ digantikan dengan misi baru yang diharap dapat merangkumi anjakan penyertaan masyarakat secara jelas.

“Memandang ke hadapan, apa yang kami (PA) ingin lakukan bukanlah hanya sekadar berkhidmat kepada lebih ramai penduduk dan menyatukan orang ramai.

“Kami ingin mencipta peluang yang mencetus keinginan sedia ada dalam masyarakat... memperkasa mereka untuk memikul tanggungjawab dan memberi mereka kuasa untuk cipta interaksi (antara satu sama lain).

“Kami ingin memupuk bakat dan aspirasi penduduk kita untuk turut serta dalam membina masyarakat kita secara bersama supaya mereka bukan hanya setakat pengguna program kami, tetapi turut merupakan penyumbang.

“Matlamat kami adalah untuk membina masyarakat yang penyayang,” kata Encik Tong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg