Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuru ingin bantu bina kemahiran asas kanak-kanak pelbagai keperluan
Anggap pendidikan prasekolah penting bagi kenali cara berkomunikasi, jadi insan yang baik dan penyayang
Apabila seorang bekas murid Cik Nur Hidayah Mohamed Hisham datang ke tadikanya untuk memberi kad sempena Hari Guru meskipun sudah bertahun meninggalkan tadika itu, hatinya amat tersentuh dan menyedari betapa besar kesan yang ditinggalkan seorang guru.
Semasa menemuinya, bekas muridnya itu yang kini dalam Darjah 4, memberitahu Cik Nur Hidayah bahawa beliau merupakan guru terbaik yang pernah dimilikinya.
Detik seperti ini cukup bermakna bagi guru kanan di tadika Kementerian Pendidikan (MOE) Northoaks yang sudah berkecimpung dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak selama sedekad.
Malah situasi sedemikian mengingatkannya bahawa tugas seorang guru tidak berakhir apabila seseorang murid meninggalkan bilik darjah.
“Kadang-kadang mereka datang dan berkata, ‘Itulah guru saya dari tadika,’” kata guru kanan berusia 31 tahun itu ketika ditemu bual Berita Harian (BH) di tempat kerjanya.
Dunia pendidikan memang dekat di hati Cik Nur Hidayah yang membesar dalam keluarga yang mempunyai ramai guru termasuk ibunya.
Ibunya serta beberapa mak cik dan pak ciknya merupakan guru Bahasa Melayu, sekali gus memberinya pendedahan sejak kecil tentang pengaruh yang boleh dimiliki seorang guru terhadap anak didiknya.
Selain itu, pengaruh positif daripada gurunya sendiri turut membentuk minatnya dalam dunia pendidikan, ujar beliau.
Menceritakan pengalamannya, Cik Nur Hidayah berkata, semasa membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’, gurunya sanggup meluangkan masa daripada jadual mereka yang padat untuk mengajar dan membimbing beliau serta rakannya.
Cik Nur Hidayah menyifatkan sokongan gurunya sebagai antara sebab beliau berjaya dalam peperiksaan tersebut.
Kesungguhan mereka untuk melakukan lebih daripada apa yang diperlukan juga menjadi nilai yang dibawanya apabila beliau memilih kerjaya dalam bidang pendidikan.
“Saya juga mahu memberi impak yang sama kepada kanak-kanak lain kerana perkara itu sangat penting,” tambah beliau.
Melihat pendidikan prasekolah sebagai lebih daripada sekadar tempat kanak-kanak bermain dan bersosial, beliau menjelaskan bahawa kegiatan yang kelihatan mudah sebenarnya dirancang untuk membantu mereka membina kemahiran asas.
Ini termasuk kemahiran motor halus dan koordinasi mata serta tangan ketika bermain, serta kemahiran menyelesaikan masalah dan numerasi melalui permainan.
Menurutnya, tahun-tahun awal kehidupan kanak-kanak merupakan tempoh penting untuk membina asas yang akan mereka bawa sepanjang kehidupan.
Dengan penekanan yang lebih besar terhadap kemahiran sosial dan emosi, Cik Nur Hidayah percaya pendidikan awal kanak-kanak bukan sekadar mempersiapkan mereka dari segi akademik, malah membantu mereka belajar berkomunikasi, membina hubungan serta membesar menjadi individu yang baik dan penyayang.
“Perkara itulah yang akan menentukan apa yang mereka akan lakukan apabila dewasa nanti dan membentuk diri mereka,” ujarnya.
Pada awal kerjayanya, beliau mendapati komunikasi dengan ibu bapa merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapinya.
Beliau pernah berdepan dengan ibu bapa yang kecewa kerana menjangkakan anak mereka mencapai tahap tertentu menjelang akhir peringkat Tadika 2 (K2).
Namun, pengalaman itu mengajarnya bahawa membina hubungan dengan ibu bapa terlebih dahulu adalah penting.
Daripada sekadar memberitahu mereka tentang kesukaran yang dihadapi anak mereka, Cik Hidayah kini berkongsi pemerhatian khusus, menerangkan sokongan yang diperlukan dan berbincang tentang perkara yang boleh dilakukan di rumah.
Bagi beliau, matlamatnya adalah untuk memastikan guru dan ibu bapa mempunyai persefahaman bahawa kededuanya mahukan yang terbaik untuk anak tersebut.
“Apabila kita nampak kanak-kanak itu benar-benar mendapat sokongan di rumah, ketika itulah kita dapat lihat mereka berkembang dengan baik,” ujarnya.
Kepercayaan itu turut membentuk usaha Cik Hidayah dalam menyokong kanak-kanak berkeperluan khas dan mereka yang memerlukan sokongan tambahan.
Menurut Cik Nur Hidayah, beliau memilih pengkhususan dalam sokongan kanak-kanak berkeperluan khas ketika mengikuti pengajian diploma dalam psikologi kanak-kanak dan pendidikan awal di Politeknik Ngee Ann (NP) selepas menyedari semakin ramai kanak-kanak memerlukan sokongan tambahan.
Minatnya semakin mendalam ketika menjalani latihan amali di pusat Program Intervensi Awal Kanak-Kanak (Eipic), tempat beliau bekerja dengan kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme dan gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) yang sedang membuat persiapan untuk memasuki pendidikan arus perdana.
Cik Nur Hidayah kemudian menyertai tadika MOE dengan harapan dapat menyumbang kepada perubahan yang lebih luas dalam cara para pendidik memahami dan menyokong kanak-kanak dengan keperluan yang berbeza.
Di tadika MOE Northoaks, beliau bekerjasama dengan agensi luar serta Pegawai Keperluan Pendidikan Khas dari sekolah rendah bagi meningkatkan keupayaan guru dalam menyokong kanak-kanak.
Antara usaha tersebut ialah kerjasama dengan Asian Women’s Welfare Association (AWWA) menerusi Program Sokongan Pembangunan dan Pembelajaran (DS-LS), di mana kanak-kanak yang memerlukan sokongan tambahan boleh menerima intervensi khusus dengan persetujuan ibu bapa.
Daripada bergantung sepenuhnya kepada pakar, Cik Hidayah percaya guru juga perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan keyakinan untuk menyokong kanak-kanak dalam persekitaran bilik darjah setiap hari.
Ini menjadi semakin penting kerana keperluan setiap kanak-kanak berbeza.
Ada yang memerlukan penyesuaian tertentu kerana autisme, ADHD, masalah pendengaran atau pergerakan, manakala ada pula yang memerlukan sokongan pembelajaran tambahan kerana masih membina asas literasi.
Terdapat juga kanak-kanak yang memerlukan sokongan akibat keadaan di luar bilik darjah, seperti persekitaran rumah yang tidak stabil atau masalah kehadiran ke sekolah, dan mungkin memerlukan sokongan emosi tambahan serta hubungan yang lebih rapat dengan keluarga mereka.
Dalam perjalanan ke arah peranan kepimpinan, Cik Hidayah berharap dapat terus membina keupayaan para guru supaya mereka lebih bersedia menangani pelbagai keperluan tersebut.
Sempena Hari Guru, beliau berkongsi bahawa baginya, kepimpinan bukan sekadar memberitahu orang lain apa yang perlu dilakukan, tetapi menunjukkan teladan sebagai seorang pendidik.
“Seorang pemimpin merupakan individu yang mengamalkan apa yang dikatakannya,” katanya.
