Guru pilih umrah DIY, jimat kos, dapat ibadah lebih bermakna
Guru pilih umrah DIY, jimat kos, dapat ibadah lebih bermakna
Menyedari umrah secara urus sendiri (DIY) dapat mengurangkan kos perjalanan hampir separuh, Encik Mohammad Hazmie Ja’afar, 33 tahun, memilih pendekatan ini untuk mengerjakan umrahnya pada Ramadan ini.
Baginya, proses merancang perjalanan umrah DIY adalah sama seperti merancang percutian peribadi.
Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Encik Hazmie, yang telah dua kali menunaikan umrah Ramadan (2024 dan 2025), berkata ibadah pada bulan puasa membolehkannya lebih fokus dalam solat. Suasana berpuasa menimbulkan rasa kesefahaman dan tujuan yang sama di kalangan jemaah.
Sebagai seorang guru, beliau turut memanfaatkan cuti sekolah Mac yang jatuh pada tujuh malam terakhir Ramadan tahun ini, memudahkan perancangannya.
“Menguruskan umrah sendiri hanya memerlukan saya menguruskan hotel, penerbangan dan pengangkutan. Saya juga bebas memilih untuk tidak menyertai lawatan yang selalunya disertakan dalam pakej,” katanya.
Menurutnya, perancangan secara berdikari turut membantu memperdalam pemahamannya terhadap bacaan dan tatacara umrah, menjadikan pengalamannya lebih bermakna berbanding hanya mengikut panduan orang lain.
“Ramadan adalah bulan di mana pahala setiap amalan digandakan. Tambahan pula, ibadah yang dilakukan di Masjid al-Haram juga mempunyai ganjaran yang lebih besar, jadi ini peluang yang baik untuk dimanfaatkan,” katanya.
Tahun ini, Encik Hazmie merancang untuk membawa seluruh keluarganya, termasuk ibu bapa, adik-beradik, isteri serta dua orang anaknya yang masing-masing berusia satu dan empat tahun.
Walaupun membawa anggota keluarga berusia dan anak kecil, beliau yakin umrah Ramadan tetap boleh dilaksanakan hasil perancangan rapi yang dibuatnya sendiri.
Beliau juga menyedari bahawa umrah DIY jauh lebih dimampui.
“Bagi mereka yang pertama kali, khidmat agensi pelancongan memang sangat membantu, semua diuruskan... dari hotel, perjalanan, pengangkutan, hingga makanan,” katanya.
“Namun, bagi mereka yang ingin umrah setiap tahun seperti saya, merancang sendiri menjimatkan kos dan menjadikannya lebih realistik untuk dilakukan secara konsisten,” tambahnya.
Menyentuh cabaran yang dijangkakan, Encik Hazmie berkata tawaf umrah, iaitu berjalan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan yang merupakan rukun wajib umrah, menuntut ketahanan fizikal, lebih-lebih lagi ketika berpuasa.
“Namun segala kesukaran itu berbaloi kerana ganjaran yang diberikan Allah swt, yang disifatkan setara dengan menunaikan ibadah haji,” katanya.
Pada tahun ini, beliau juga akan melanjutkan tempoh umrah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Makkah, penyesuaian peribadi yang dapat dilakukannya kerana keseluruhan jadual perjalanan diatur sendiri.
Walaupun mengakui bimbingan amat membantu bagi mereka yang belum pernah mengerjakan umrah, Encik Hazmie berkata usaha mempelajari sendiri bacaan dan tatacara ibadah itu membantunya memahami rukun umrah dengan lebih mendalam.
Beliau turut mengikuti kursus persediaan umrah secara kendiri, termasuk satu kursus yang dianjurkan oleh rakannya.
“Pengalaman ini benar-benar membuka mata. Apabila semuanya dilakukan berdasarkan perancangan dan ilmu sendiri, umrah menjadi lebih peribadi. Berdikari mendorong kita mencari dan memahami, dan bagi saya, ia membantu membina hubungan yang lebih erat,” katanya.

