Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Sepanyol minta agar suspek bunuh dihantar pulang ke S’pura

May 3, 2025 | 2:33 PM
Suspek pembunuh, Mitchell Ong (kiri), didapati telah dinamakan sebagai penama tunggal bagi simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Cik Audrey Fang.
Suspek pembunuh, Mitchell Ong (kiri), didapati telah dinamakan sebagai penama tunggal bagi simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Cik Audrey Fang. - Foto STRONGESTASIAN/INSTAGRAM, FANG DIROU/FACEBOOK

Mitchell Ong, suspek dalam kes tikaman maut terhadap warga Singapura, Cik Audrey Fang di Sepanyol, berdepan kemungkinan dihantar pulang untuk dibicarakan di Singapura, selepas pihak imigresen Sepanyol mengemukakan permohonan kepada mahkamah.

Peguamnya, Cik Maria Jesus Ruiz de Castaneda, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa beliau menentang permohonan tersebut.

“Belum ada keputusan. Kami diminta beri penjelasan tentang permohonan pengusiran,” katanya, sambil menambah bahawa belum jelas bila hakim akan membuat keputusan.

Permohonan pengusiran dibuat oleh Suruhanjaya Umum Pendatang dan Sempadan Sepanyol, agensi polis yang mengurus hal imigresen dan kawalan sempadan, menurut laporan media Sepanyol.

Jika diluluskan oleh mahkamah, Ong — yang kini dipenjarakan di Penjara Sangonera la Verde di Murcia — boleh dibicarakan di Singapura, di mana dia mungkin berdepan hukuman mati jika didakwa atas tuduhan membunuh, lapor ST.

Pejabat Pendakwa Raya serta pendakwa swasta — diwakili peguam, Encik  Manuel Martinez bagi pihak keluarga Cik Fang sejak Februari — telah menyatakan niat untuk mendakwa Ong atas tuduhan membunuh.

Di Sepanyol, sabitan membunuh membawa hukuman penjara antara 15 dengan 25 tahun.

Pihak imigresen Sepanyol juga memohon agar Ong diharamkan kembali ke negara itu selama 10 tahun.

Peguam keluarga Fang menyokong permohonan pengusiran itu, lapor akhbar harian Sepanyol,  La Opinión de Murcia.

Namun, peguam Ong, Cik Ruiz de Castaneda, berkata pengusiran melanggar undang-undang dan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui Sepanyol.

“Beliau masih dalam prosiding jenayah di Sepanyol dan perlu dibicarakan di sini,” katanya. “Pengusiran bercanggah dengan Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah dan pendirian Sepanyol terhadap hukuman mati.”

Cik Ruiz de Castaneda sebelum ini meminta kes itu digugurkan, menyatakan semua bukti perlu diteliti dan Ong “bertegas” bahawa dia tidak membunuh mangsa.

Ong ditahan sejak 16 April 2024, selepas mayat Cik Fang ditemui pada 10 April berhampiran kawasan parkir lori di Abanilla.

Dua rakan Cik Fang memberitahu mahkamah pada 26 Jun 2024 bahawa mangsa dan Ong berkenalan melalui aplikasi temu janji.

Peguam keluarga Cik Fang, Encik Martinez, berkata Cik Fang memaklumkan beliau mahu bertemu Ong semasa bercuti di Sepanyol.

Cik Fang, seorang arkitek berusia 39 tahun, berlepas dari Singapura pada 4 April untuk melancong seorang diri ke Xàbia, wilayah Valencia. Beliau sepatutnya pulang lapan hari kemudian, tetapi gagal dihubungi pada 10 April.

Bedah siasat mendapati beliau meninggal dunia akibat tikaman dan kecederaan di kepala.

DNA dua lelaki ditemui pada pakaiannya, menimbulkan kemungkinan lebih dari seorang terlibat.

Ong, bekas ejen insurans AIA, juga dinamakan sebagai penama tunggal akaun (Tabung Simpanan Pekerja) CPF Cik Fang, dengan jumlah sekitar $498,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg