Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF akan semak semula kes Megan Khung, ambil kira respons semua pihak

Apr 11, 2025 | 10:32 PM
Megan Khung meninggal dunia pada Februari 2020 pada usia empat tahun selepas mengalami penderaan ngeri selama setahun oleh ibunya dan bekas teman lelakinya.
Megan Khung meninggal dunia pada Februari 2020 pada usia empat tahun selepas mengalami penderaan ngeri selama setahun oleh ibunya dan bekas teman lelakinya. - Shin Min Daily News

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menjalankan semakan lanjut mengenai kes Megan Khung, yang akan meliputi maklum balas semua pihak yang terlibat.

Ini termasuk Beyond Social Services, yang mengendalikan prasekolah yang dihadiri Megan, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak MSF dan pihak polis.

Dalam satu kenyataan pada 11 April, kementerian itu berkata ia akan menyertakan maklumat tambahan yang dikongsikan Beyond dengan MSF selepas kementerian mengeluarkan kenyataannya. MSF berkata ia akan menerbitkan kesimpulannya selepas semakan dilakukan.

Ini selepas MSF berkata pada 8 April bahawa laporan insiden oleh Beyond Social Services (Beyond) yang dihantar kepada ECDA tidak menggambarkan sepenuhnya tahap keterukan kecederaan, berbanding bukti yang dikemukakan dalam dokumen mahkamah ketika ibu Megan dan pasangannya didakwa.

“Ini mengakibatkan campur tangan yang tidak mencukupi oleh agensi berkaitan,” kata MSF.

Beyond telah melakukan pelbagai usaha untuk melindungi Megan apabila ia mengesyaki penderaan, termasuk merangka rancangan untuk memastikan Megan selamat - memindahkannya keluar dari rumah ibunya untuk tinggal sementara di bawah jagaan neneknya, dan menyatakan kebimbangan kepada ECDA dan sebuah pusat pakar perlindungan kanak-kanak.

ECDA ialah badan penguasa yang mengawal selia prasekolah di Singapura.

Megan meninggal dunia pada Februari 2020 pada usia empat tahun selepas mengalami penderaan ngeri selama setahun oleh ibunya dan bekas teman lelakinya.

Ibu Megan, Foo Li Ping, 29, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun pada 3 April. Teman lelaki Foo ketika itu, Wong Shi Xiang, 38, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 17 sebatan.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada 11 April, MSF berkata kenyataannya pada 8 April dikeluarkan dengan tujuan untuk mengenal pasti aspek yang kementerian boleh mengukuhkan campur tangan untuk memastikan kanak-kanak itu selamat.

Ia berkata: “Sejak itu, kami telah menerima maklum balas bahawa kenyataan itu mungkin menunjukkan bahawa pihak tertentu boleh berbuat lebih banyak untuk mengelakkan kematian tragis Megan Khung.

“Malah, matlamat kami adalah untuk terus mengukuhkan sistem kami, supaya kami dapat melindungi anak-anak dengan lebih baik. Semua orang, termasuk agensi pemerintah mempunyai peranan dalam proses ini.”

Kenyataan 11 April berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan semua rakan kongsinya dalam ekosistem perlindungan kanak-kanak untuk menegakkan keselamatan dan kesejahteraan setiap kanak-kanak.

“Kami amat menghargai usaha tanpa jemu semua profesional perkhidmatan sosial yang bekerja untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan menyelamatkan nyawa,” tambah kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg