Seorang guru yang merupakan penjaga pelajar di pusat tuisyen bertukar mesej teks berunsur seksual dengan seorang lelaki yang dikenalinya melalui wadah temu janji dalam talian, sebelum memeras ugut lelaki tersebut sebanyak $700.
Savanna Goh memberitahu mangsa, seorang Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) berusia 23 tahun, bahawa bapa saudaranya bekerja dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan akan melaporkan mesej “tidak menyenangkan” jika mangsa gagal membayar.
Mangsa, yang dikenali di dalam dokumen mahkamah sebagai V1, mengikut arahan kerana takut.
Namun, ‘bapa saudara’ yang dimaksudkan itu sebenarnya tidak wujud, lapor The Straits Times (ST).
Wanita warga Singapura berusia 24 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun enam bulan pada 14 Ogos selepas mengaku bersalah atas tuduhan pemerasan, penipuan dan penyalahgunaan sistem komputer.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sean Teh berkata:
“Semasa siasatan, tertuduh mengaku merancang memeras ugut dan menipu V1 kerana menganggapnya sasaran mudah yang senang mengalah kepada ugutannya.”
DPP Teh memberitahu mahkamah bahawa V1 mengenali Goh pada April 2023, di mana dia mendakwa dirinya seorang guru tadika.
Mereka kemudiannya berhubung melalui mesej teks dan panggilan telefon.
Dalam perbualan tersebut, mereka membincangkan topik seksual dan bermanja antara satu sama lain, malah bercadang untuk bertemu bagi melakukan hubungan intim.
Pada Mei 2023, Goh menipu V1, mendakwa dia memerlukan wang untuk membayar bil hospital, sambil menawarkan pertemuan secara bersemuka.
Percaya kepada tertuduh, V1 memindahkan $430 kepadanya pada 13 Mei 2023, dan sehari kemudian, memberikan lagi $600 atas permintaannya.
Namun selepas itu, Goh memberitahu bahawa dia “tidak selesa” dengan mesej teks V1 dan mengugut untuk memberitahu ‘bapa saudaranya’ yang bekerja dengan SPF tentang mesej tersebut.
Dalam ketakutan, V1 kemudiannya memindahkan $700 kepada Goh pada 16 Mei 2023.
Namun, dia terus mengugutnya dan menyatakan mangsa perlu membayar $5,000 sebagai pampasan.
Dia juga berkata jika permintaannya tidak dipenuhi, dia akan memaklumkan polis tentang mesej tersebut supaya tindakan undang-undang diambil terhadap V1.
DPP Teh berkata: “Tertuduh akhirnya memberitahu V1 bahawa dia bersedia menyelesaikan perkara itu dengan bayaran $2,500.
“V1 kemudian memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai wang untuk membayarnya.
“Tertuduh mengugut V1 dengan denda $100,000 atau penjara jika tidak membayar, dan V1 berhenti membalas selepas tertuduh meminta lagi $500.”
Pada 1 Jun 2023, Goh meminta V1 memindahkan $1,000 untuk mengaktifkan akaun banknya, namun kemudian menukar jumlah tersebut kepada $950.
V1 membuat laporan polis setelah dihubungi pihak bank.
Dua hari kemudian, V1 menyekat Goh di Telegram, tetapi Goh menghubungi V1 di WhatsApp dan meminta agar sekatan itu ditarik balik.
Apabila ditolak, Goh mencipta akaun palsu di Telegram, menyamar sebagai pegawai polis, dan menghantar mesej amaran kepada V1 supaya menuruti segala permintaannya.
V1 melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa pada 3 Jun 2023.
Jaminan Goh ditetapkan pada $15,000 dan hukuman penjara bermula pada 18 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg