Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru tari warga Australia lumpuh dari dada ke bawah akibat nahas SQ321

Jun 11, 2024 | 5:48 PM
Cik Kerry Jordan lumpuh akibat kecederaan tulang belakang yang berlaku apabila penerbangan Singapore Airlines SQ321 mengalami gelora udara pada 21 Mei. Gambar menunjukkan beliau di hospital bersama suaminya, Encik Keith Davis.
Cik Kerry Jordan lumpuh akibat kecederaan tulang belakang yang berlaku apabila penerbangan Singapore Airlines SQ321 mengalami gelora udara pada 21 Mei. Gambar menunjukkan beliau di hospital bersama suaminya, Encik Keith Davis. - Foto MOIZ ESUFALLY/X

Seorang guru tari warga Australia yang berada dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321 kini tidak boleh menari lagi selepas cedera parah di bahagian tulang belakang akibat gelora udara yang melanda pesawat itu.

Cik Kerry Jordan, 52 tahun, juga memberitahu akhbar yang berpangkalan di Adelaide, Australia, The Advertiser, bahawa beliau tidak boleh melakukan segala “perkara asas” dengan tangannya, seperti menyuap makanan sendiri, menggosok gigi, menukar saluran televisyen dan menggunakan telefon bimbitnya.

“Saya rasa itu yang paling sukar, tidak dapat merasakan sebahagian besar daripada badan saya,” katanya kepada akhbar itu dari Hospital Royal Adelaide.

Cik Jordan mengalami patah tulang belakang pada segmen C7-T1, yang menghubungkan leher ke badan belakang di bahagian atas, lapor The Straits Times.

Beliau juga mengalami pendarahan otak, patah tulang ruas tulang belakang, atau vertebra, C1 dan C2 di bahagian atas tulang belakang dan patah tulang rusuk.

Cik Jordan dan suaminya, Encik Keith Davis, pulang dari bercuti di Britain pada 21 Mei ketika pesawat mereka mengalami gelora udara yang teruk secara tiba-tiba.

Menurut media Britain Sky News, Cik Jordan telah kembali ke tempat duduknya dan cuba memakai tali pinggang keledarnya apabila gelora udara tersebut berlaku.

Pesawat SQ321 sedang menuju ke Singapura dari London ketika pesawat itu naik dan turun dengan pantas dua kali dalam masa 62 saat di atas Lembangan Irrawaddy di Myanmar.

Seorang penumpang meninggal dunia akibat disyaki serangan jantung manakala berpuluh penumpang tercedera.

Pesawat Boeing 777-300ER yang membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand.

Cik Jordan, yang merupakan seorang guru tari di Sekolah Menengah Perempuan Mitcham Australia Selatan, menyifatkan kejadian itu “benar-benar ganas”.

Beliau berkata: “Semuanya mula bergegar... Yang saya ingat ialah berada di udara dan semuanya benar-benar senyap dan kemudian saya berada di atas lantai.”

Cik Jordan dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin di Bangkok untuk pembedahan segera kerana kecederaan tulang belakang yang teruk dan kemudian dipindahkan ke Adelaide.

Laman berita News.com.au melaporkan beliau tidak dapat merasakan kakinya sejurus selepas kejadian itu dan terpaksa berada di atas lantai pesawat untuk sepanjang penerbangan.

Menurut Cik Jordan yang menghadapi pemulihan berbulan-bulan, beliau hanya boleh menggerakkan tangannya tetapi tidak boleh menggunakannya.

Suaminya memberitahu media Australia bahawa beliau kagum dengan ketabahan isterinya.

Encik Davis berkata:

“Ia memberi inspirasi. Saya tidak tahu bagaimana dia (Cik Jordan) bangun setiap hari dan meneruskannya.”

Pada Mei, SIA meminta maaf kepada pasangan itu selepas Encik Davis mengadu tentang kekurangan maklumat daripada syarikat penerbangan itu berikutan kejadian tersebut.

Ketua Eksekutif SIA, Encik Goh Choon Phong, bertemu Encik Davis dan penumpang lain yang terjejas.

“Kami tetap komited untuk menyokong semua penumpang dan anak kapal yang berada dalam SQ321, serta ahli keluarga dan orang tersayang mereka,” kata syarikat penerbangan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg