Presiden Tharman Shanmugaratnam mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang telah memerah tenaga bukan sahaja membolehkan setiap rakyat Singapura menikmati Tahun Baru Cina, malah memeriahkan perayaan tersebut.
“Selamat Tahun Baru Cina! Semoga semua diberkati dengan kebijaksanaan, pesona, dan kreativiti yang dikaitkan dengan Tahun Ular,” kata beliau dalam catatan Facebooknya pada 28 Januari.
“Ingatlah mereka yang memastikan bahawa kita semua dapat menikmati perayaan sebegini,” ujar beliau.
Presiden Tharman menekankan sumbangan penting pekerja harian, seperti tukang jahit, pemilik kedai bunga, tukang kasut, tukang gunting rambut, tukang kaligrafi, pegerai, penjual buah-buahan, penjual ikan dan lain-lain lagi.
Beliau berkata, pereka pakaian dan penjual bunga yang membawa warna dan keindahan.
“Tukang gunting rambut yang memberi kita penampilan segar atau bergaya. Pembuat kasut dan tukang kaligrafi, masing-masing dengan seni halus mereka.
“Peniaga gerai yang menawarkan pasangan ayat dan hiasan Tahun Baru Cina untuk membawa tuah. Penjual ikan, ayam, dan sayur-sayuran, yang memulakan hari mereka jauh sebelum fajar. Penjual buah, sentiasa ada dengan hasil yang segar.”
Individu sebegini, kata beliau, sering bekerja di belakang tabir, menyumbang kepada kelancaran ekonomi semasa tempoh puncak menjelang Tahun Baru Cina. Komitmen mereka adalah penting untuk menjayakan perayaan tersebut.
Sempena perayaan Tahun Baru Cina, Presiden Tharman mengambil peluang mengingatkan semua tentang semangat Singapura yang melibatkan daya tahan dan usaha kolektif yang memainkan peranan penting dalam menghidupkan dan memeriahkan perayaan ini.
Ucapan beliau boleh dilihat sebagai peringatan bahawa perayaan Tahun Baru Cina bukan sahaja tentang perayaan tetapi juga tentang usaha kolektif semua orang, besar atau kecil, yang menghidupkan tradisi ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg