Penduduk di Sengkang, Woodlands North dan Yio Chu Kang boleh menantikan kemudahan riadah serta perkhidmatan lain yang disatukan di bawah satu bumbung menerusi cadangan pembinaan hab masyarakat bersepadu di kawasan tersebut.
Sementara itu, mereka yang tinggal di kawasan barat laut berkemungkinan mendapat sehingga empat taman baru dalam masa terdekat, sejajar dengan pelan penambahbaikan Koridor Alam Semula Jadi Kranji.
Ia merangkumi sebuah koridor hijau yang merangkumi kawasan hutan, tempat berasas air (water body) serta kehijauan di sepanjang jalan yang menyokong sambungan ekologi dan menambah pilihan riadah.
Pelan itu dibentangkan dalam pameran Pelan Induk Draf 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang dilancarkan pada 25 Jun di Pusat URA di Maxwell Road, lapor The Straits Times (ST).
Antara pelan kemudahan riadah lain yang diumumkan termasuk taman baru di Orchard Road, jambatan yang akan menghubungkan Bay East Garden dan Marina Centre di pusat bandar Singapura, serta penambahbaikan di Jurong Hill dan Taman Burung Jurong.
Semasa pelancaran pameran itu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata hab di Sengkang, Woodlands dan Yio Chu Kang – yang akan dibina dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang – bakal terletak berhampiran nod pengangkutan awam dan menggabungkan kemudahan sukan, penjagaan kesihatan dan ruang masyarakat dalam satu tempat.
Contoh hab bersepadu adalah Our Tampines Hub, yang menempatkan perpustakaan serantau, kelab masyarakat, padang bola sepak, pusat penjaja serta kemudahan lain.
Hab Sengkang akan terletak berhampiran pusat beli-belah Compass One, manakala hab di Woodlands North berhampiran dengan terminal Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura yang akan datang.
Hab di Yio Chu Kang pula dijangka dibina di tapak pusat sukan sedia ada yang dirancang untuk dibangunkan semula.
Bagi empat taman yang sedang dikaji dalam kawasan Koridor Alam Semula Jadi Kranji, kesemuanya akan dibina berhampiran tempat berasas air sedia ada, dan melengkapi Taman Alam Mandai Mangrove dan Mudflat seluas 72.8 hektar yang dijadual dibuka pada 2028.
Sebuah taman yang dirancang berhampiran Kolam Air Kranji seluas kira-kira 26 hektar akan menawarkan habitat persisiran air.
Taman lain berkeluasan sekitar 10 hektar bersebelahan Sungei Pang Sua pula akan menampilkan elemen landasan lama Kereta Api Tanah Melayu (KTM) yang pernah melalui kawasan itu.
Dua taman lagi akan terletak sepanjang Sungei Mandai – satu di kawasan perumahan baru di bekas Litar Lumba Singapura di Kranji, dan satu lagi lebih jauh ke utara seluas sekitar lima hektar yang akan merangkumi habitat bakau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg