Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Habuan pemerintah bukan durian runtuh untuk dibelanja secepatnya

Belanja biar berhemat dengan keperluan penting diberi keutamaan
Dec 1, 2024 | 5:30 AM
Habuan daripada pemerintah adalah untuk membantu warga meringankan kos sara hidup warga, menampung kos penjagaan kesihatan dan menambah simpanan persaraan.
Habuan daripada pemerintah adalah untuk membantu warga meringankan kos sara hidup warga, menampung kos penjagaan kesihatan dan menambah simpanan persaraan. - Foto fail

Pasti ramai warga gembira kerana bakal menerima pelbagai habuan kewangan pada Disember ini.

Ini setelah pemerintah mengumumkan antaranya habuan wang tunai dan tokokan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Dari segi habuan wang tunai, sekitar 2.9 juta rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2025 akan menerima wang tunai antara $200 dengan $600 sebagai sebahagian Pakej Jaminan dipertingkat.

Dari segi sumbangan kepada akaun MediSave, bantuan yang diagihkan termasuk kepada sekitar 1.4 juta rakyat Singapura yang lahir antara 1974 dengan 2003. Mereka akan menerima tokokan MediSave sekali sahaja sebanyak $300 hingga $500.

Sementara mereka yang lahir pada 1973 atau lebih awal pula akan menerima tokokan $1,250 atau $2,000 di bawah Pakej Majulah.

Ini akan dinikmati sekitar 1.6 juta rakyat Singapura.

Bantuan ketiga adalah dari segi Bonus Simpanan Persaraan – satu lagi komponen di bawah Pakej Majulah.

Sekitar 800,000 rakyat Singapura yang lahir pada 1973 atau lebih awal akan menerima bonus sekali sahaja sebanyak $1,000 atau $1,500 ke dalam akaun CPF mereka, bergantung pada jumlah simpanan persaraan mereka.

Menurut Perdana Menteri Lawrence Wong, bantuan itu diharapkan dapat membantu menangani kebimbangan warga Singapura berkaitan kos sara hidup warga.

Beliau mengakui bahawa isu kos sara hidup masih menjadi keprihatinan walaupun inflasi semakin reda.

Namun beliau menegaskan: “Saya dan pasukan saya akan melakukan segala yang kami mampu untuk membantu anda melalui tempoh sukar ini”.

Mesej pemberian habuan itu jelas – membantu warga meringankan kos sara hidup warga, menampung kos penjagaan kesihatan dan menambah simpanan persaraan.

Ia bukan bertujuan untuk dibelanjakan kesemuanya dan secepatnya, dengan berbelanja sakan membeli barangan yang bukan keperluan utama.

Jika habuan itu dibelanjakan begitu sahaja, maka matlamat bantuan itu sukar dicapai dan hasilnya kepada warga tidak banyak berbeza.

Warga akan terus merungut kos sara hidup kekal tinggi dan menyatakan mereka sukar menampungnya, sedangkan bantuan yang diberikan pemerintah dibelanjakan habis dengan cepat sekali. 

Cara lebih baik adalah habuan berkenaan digunakan secara berhemat.

Contohnya, sebahagian wang yang diterima diketepikan ke dalam simpanan sebagai dana kecemasan untuk menghadapi masa-masa sukar – bak sediakan payung sebelum hujan – dan untuk mengharungi kos sara hidup disebabkan inflasi.

Jika harus digunakan segera, belilah keperluan yang benar-benar diperlukan.

Ini termasuk penggunaan dalam pendidikan anak, demi membantu mereka belajar ke tahap setinggi yang boleh.

Pelaburan dalam pendidikan anak ini penting kerana pendidikan, seperti yang telah banyak terbukti, adalah penyetara sosial atau social leveller penting, kerana mampu membawa seseorang atau keluarga berpendapatan kecil keluar daripada lingkaran kemiskinan.

Atau wang itu boleh juga digunakan untuk melunaskan hutang yang mengenakan kadar faedah tinggi lagi membebankan seperti hutang kad kredit, yang jika tidak dilunaskan segera boleh membelit seseorang dalam lingkaran hutang berpanjangan – yang akan menyebabkan kesukaran pada diri dan keluarga. 

Perubahan minda diperlukan dalam menggunakan habuan pemerintah.

Ia tidak harus dilihat sebagai durian runtuh yang harus dibelanjakan semuanya dan secepatnya.

Sebaliknya, habuan itu harus dianggap sebagai rezeki tambahan yang amat berguna, yang dapat disimpan sebahagian atau sepenuhnya, untuk kegunaan pada masa yang diperlukan atau semasa waktu sukar.

Pemerintah telah pun berikrar akan terus membantu warga Singapura, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan akan antara lain memberi lebih banyak bantuan wang tunai, rebat utiliti, skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV), dan sebagainya.

Justeru, selain wajar kita menghargai habuan ini, kita juga wajar menggunakan secara berhemat demi memperkukuh perancangan kewangan kita.

Bak kata peribahasa: Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Usah kita ambil sikap bersenang-senang dahulu, bersusah kemudian.

Usahlah kita berbelanja melebihi kemampuan kerana waktu sukar boleh sahaja berlaku dengan cepat jika ekonomi dunia merudum, khususnya kini adanya ketidaktentuan sejagat ekoran perang di Eropah dan Timur Tengah. 

Tanamkan dalam minda kita untuk menjadi seseorang atau keluarga yang suka menabung, mempunyai wang simpanan mencukupi dan sentiasa cukup bersedia untuk menghadapi keadaan sukar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg