Had kelayakan program bantuan NTUC Care dinaikkan, lebih ramai dijangka raih manfaat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Had kelayakan program bantuan NTUC Care dinaikkan, lebih ramai dijangka raih manfaat

NTUC turut perluas sokongan bagi penjaga tunggal, keluarga anak berkeperluan khas
Jan 21, 2026 | 7:18 PM

Had kelayakan program bantuan NTUC Care dinaikkan, lebih ramai dijangka raih manfaat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ntuc care 2026, had pendapatan, bantuan
NTUC meningkatkan kelayakan pendapatan bagi program bantuan NTUC Care, selain memperluas sokongan buat penjaga tunggal dan keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas, untuk menyediakan bantuan kepada lebih ramai anggota kesatuan berpendapatan rendah dan keluarga mereka. - Foto fail

Lebih ramai anggota kesatuan berpendapatan rendah kini boleh meraih manfaat daripada program bantuan NTUC Care selepas kelayakan pendapatannya dinaikkan daripada $3,800 kepada $4,300, umum Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 21 Januari.

Peningkatan itu, yang diselaraskan dengan pendapatan isi rumah kasar (GHI) di tahap 20 peratus terendah pada 2024, dijangka memanfaatkan tambahan 4,500 anggota kesatuan berpendapatan rendah dan keluarga mereka pada 2026.

NTUC berkata peningkatan itu dibuat bagi mengiktiraf sekumpulan anggota kesatuan berpendapatan rendah serta keluarga mereka yang sebelum ini tidak layak menerima bantuan kerana pendapatan mereka lebih tinggi sedikit daripada had kelayakan, namun menghadapi tekanan kewangan yang tulen.

Diumumkan sempena majlis jamuan malam penghargaan NTUC Care di hotel Parkroyal on Beach Road, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata:

“Tanggungjawab penjagaan menjadi lebih rumit dan mencabar, terutamanya bagi anggota kesatuan berpendapatan rendah kami.

“Dengan sokongan daripada Dana NTUC-U Care, kami meningkatkan kelayakan pendapatan program bantuan NTUC Care kami, dan memperkukuh sokongan bagi golongan penjaga.

“Ini agar kami boleh membantu lebih ramai anggota kesatuan berpendapatan rendah dan keluarga mereka dengan lebih berkesan, membolehkan mereka terus menjaga orang tersayang sambil terus kekal bekerja.”

Contoh program bantuan NTUC Care termasuk NTUC Care (Bantuan Khas) yang menyediakan bantuan tunai sekali sahaja sehingga $150.

Program lain termasuk NTUC Care (e-Baucar) – U Stretch & Back-to-School; NTUC Care (Sokongan untuk Penjaga) – Kanak-Kanak Berkeperluan Khas; dan NTUC Care (Sokongan untuk Penjaga) – Penjaga Tunggal.

Selain had pendapatan, NTUC juga memperluas sokongan buat penjaga tunggal dan keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Bagi penjaga tunggal, liputan bantuan kini diperluas untuk merangkumi anak-anak yang melanjutkan pengajian di peringkat pascamenengah, termasuk di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik, dan universiti.

Sebelum ini, bantuan hanya terhad kepada tanggungan sehingga peringkat sekolah menengah sahaja.

Perubahan ini dijangka memberi manfaat kepada 350 lagi tanggungan.

Bagi keluarga dengan anak berkeperluan khas pula, bantuan sebanyak $1,000 bagi setiap anak kini turut merangkumi mereka yang mendaftar dalam Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (Eipic), selain sekolah Pendidikan Khas (Sped).

Tambahan sekitar 500 kanak-kanak dalam program Eipic dijangka meraih manfaat daripada langkah ini pada 2026.

Langkah itu membolehkan bantuan disalurkan lebih awal sebelum kanak-kanak memulakan persekolahan formal.

Bagi membiayai inisiatif tersebut, Dana NTUC-U Care telah berjaya mengumpulkan hampir $7 juta pada 2025 menerusi sokongan padu kesatuan, majikan dan rakan kongsi.

NTUC telah mengagihkan hampir $5.5 juta bantuan kepada lebih 47,000 penerima pada 2025.

Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Melvin Yong, menekankan bahawa komitmen mereka adalah untuk memastikan keluarga yang menghadapi cabaran hidup tidak perlu melaluinya sendirian.

“Dengan sokongan padu daripada kesatuan sekerja, rakan kongsi dan penderma kami, Dana NTUC U-Care terus meningkatkan dan mengembangkan program bantuan kami untuk menyokong anggota kesatuan berpendapatan rendah kami dengan lebih baik, yang mana kebanyakannya juga merupakan penjaga.

“Ini termasuk penjaga tunggal dan keluarga yang menjaga kanak-kanak berkeperluan khas.

“Teras usaha kami adalah keluarga sebenar yang menghadapi cabaran sebenar, dan komitmen kami adalah untuk memastikan mereka menerima sokongan tepat pada masanya dan tidak perlu menghadapi cabaran ini bersendirian,” kata beliau, yang juga Pengarah Divisyen NTUC Care.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg