Sebanyak $5.4 juta akan diperuntukkan sepanjang tiga tahun akan datang, mulai 2025 hingga 2027, untuk membiayai dua program baru bagi menyokong anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berpendapatan rendah yang mempunyai tanggungjawab menjaga.
Kededua program baru itu, yang bertujuan mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh penjaga, akan dibangunkan oleh kesatuan tersebut di bawah Dana NTUC-U Care.
Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan NTUC untuk memenuhi keperluan anggota yang mempunyai tanggungjawab menjaga dengan lebih baik, yang akan dikongsi dalam masa terdekat.
Dana NTUC-U Care telah mengumpul $7.2 juta dalam bentuk sumbangan daripada penyokong tetap dan penderma baru, termasuk dua program pengasuh baru, yang akan memperuntukkan $1.8 juta untuk 2025.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan NTUC pada 12 November, lebih 10,000 anggota kesatuan NTUC dan keluarga mereka telah meraih manfaat daripada program tersebut pada 2024.
Sebagai contoh, lebih $2 juta telah diperuntukkan untuk Dana Jagaan NTUC (e-Baucar) yang membantu kira-kira 10,000 anggota kesatuan sekerja berpendapatan rendah dan keluarga mereka untuk berbelanja sebaik mungkin.
Anggota yang layak boleh membuat permohonan apabila ia dibuka dari pertengahan November hingga pertengahan Disember 2024.
Pada Oktober, NTUC mengumumkan ia telah memperuntukkan $700,000 untuk membantu 3,500 belia dan kanak-kanak bersekolah melalui Dana Jagaan NTUC (Anugerah Pendidikan) yang bertujuan memberi motivasi kepada kanak-kanak, sama ada di peringkat pengajian tinggi (IHL) dan bukan IHL, agar cemerlang dalam pelajaran mereka.
Bagi belia yang menghadapi kesusahan akibat keadaan yang tidak dijangka, geran Dana Jagaan NTUC (Memperkasa Belia) yang diumumkan pada 25 Mei 2024 menyediakan sokongan berterusan bagi belia di IHL menamatkan pengajian mereka.
Dalam pada itu, NTUC turut menyediakan bantuan Dana Jagaan NTUC (Bantuan Kecederaan Tempat Kerja). Ia menyediakan bantuan bagi memenuhi keperluan anggota yang layak dan mengalami kecederaan semasa menjalankan tugas mereka.
Sebanyak $120,000 telah diperuntukkan untuk skim itu, yang bertujuan membantu pekerja yang terjejas melalui tempoh ketika mereka tidak dapat bekerja disebabkan kecederaan yang dialami.
Kelab NTUC, dengan kerjasama Dana U Care, akan melancarkan Program Memperkasa Impian, atau Empowering Dreams, untuk memberi inspirasi dan menaikkan taraf kanak-kanak dan belia daripada keluarga berpendapatan rendah.
Kegiatan pertama, Family Day Out, di Sentosa di bawah program tersebut pada 24 November akan melibatkan kira-kira 100 benefisiari dan keluarga mereka.
Selain itu, Family Fun Fiesta 2024, di bawah Kelab NTUC akan membawa bersama-sama sehingga 4,000 benefisiari dalam tempoh dua hari, dari 30 November hingga 1 Disember, untuk hari beriadah secara percuma di Downtown East.
Setiap empat sekeluarga akan menerima pakej yang disertakan dengan hadiah percuma seperti tiket masuk ke Wild Wild Wet atau tayangan filem di Cathay Cineplex Downtown East, dalam usaha mempromosikan keseimbangan kerja dan kehidupan, serta kesejahteraan yang lebih baik untuk anggota berpendapatan rendah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg