Had masa harian penggunaan media sosial merupakan salah satu daripada beberapa langkah keselamatan wajib untuk remaja yang sedang dipertimbangkan oleh pemerintah bagi menangani ketagihan dan interaksi berbahaya.

Langkah itu dapat membantu mewujudkan titik henti semula jadi, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Josephine Teo, dalam satu temu bual media pada 28 Ogos.

“Sifat ‘infinite scroll’ ialah ia tidak mempunyai titik henti semula jadi; anda terus menatal tanpa henti,” kata Cik Teo. “Had masa bagi penggunaan sesuatu platform... boleh menjadi salah satu cara untuk menangani ciri menatal ini.”

Beliau menambah bahawa had masa harian kini sedang dibincangkan.

Sepanjang temu bual sejam itu, beliau turut berkongsi lebih banyak butiran mengenai rancangan Singapura untuk melindungi interaksi sosial dan kesihatan mental golongan muda negara — topik yang timbul buat kali kedua berturut-turut dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026.

Pada 23 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata dalam ucapan NDR bahawa platform media sosial yang ingin mengendalikan pengguna bawah umur 18 tahun di Singapura perlu melaksanakan langkah keselamatan yang lebih kukuh bagi melindungi mereka daripada perbandingan sosial yang tidak sihat dan pengasingan sosial.

“Langkah keselamatan yang lebih kukuh ini berkaitan dengan cara pengguna remaja berinteraksi, terutamanya dengan orang yang tidak dikenali, serta sama ada perlindungan yang mencukupi telah disediakan. Langkah keselamatan ini turut terpakai kepada ciri-ciri yang memanjangkan tempoh penggunaan,” ujar Cik Teo. 

Beliau menambah bahawa perubahan perundangan akan dibentangkan pada awal 2027 bagi memudahkan penguatkuasaan melalui semakan umur.

Langkah Singapura itu dibuat susulan penyelesaian Meta bernilai AS$18 bilion ($23 bilion) dengan Amerika Syarikat, bagi menyelesaikan tuntutan bahawa Facebook dan Instagram telah menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, Meta turut akan membuat perubahan reka bentuk besar terhadap Facebook dan Instagram bagi pengguna bawah umur 18 tahun.

Perubahan itu termasuk mengehadkan penggunaan kedua-dua platform kepada dua jam sehari, menguatkuasakan waktu larangan dari tengah malam hingga 6 pagi, menyembunyikan bilangan “like” dan reaksi pada akaun remaja, serta melarang penggunaan penapis kamera (filter) yang mengubah rupa gambar pengguna.