Lebih banyak sokongan, seperti menerusi geran dan akses keutamaan, akan diberikan kepada warga Singapura, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, warga emas dan bujang yang ingin tinggal berdekatan atau bersama ibu bapa mereka.
Demikian antara pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Encik Lawrence Wong semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.
Bagi golongan berpendapatan rendah, mereka boleh berharap untuk menerima lebih banyak geran untuk membeli rumah pertama mereka di samping Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat (EHG) yang sedia ada.
“Saya fikir kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapat rumah pertama mereka. Pada masa ini mereka boleh mendapatkan Geran Perumahan CPF Dipertingkat sehingga $80,000.
“Kami akan meningkatkan geran tersebut, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah,” kata Encik Wong.
Beliau berkata butiran lanjut mengenai peningkatan kuantum geran akan diumumkan pada masa terdekat oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Encik Wong juga mengumumkan bahawa selain anak yang sudah berkahwin, golongan bujang juga tidak lama lagi akan mendapat akses keutamaan untuk tinggal bersama atau berhampiran ibu bapa mereka mulai pertengahan 2025.
“Hari ini, anak-anak yang sudah berkahwin dan ibu bapa mereka yang membeli flat baru untuk tinggal bersama atau berdekatan antara satu sama lain mendapat keutamaan akses ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO). Kami melakukan ini untuk memudahkan keluarga menjaga satu sama lain.
“Saya fikir kita tidak sepatutnya mengehadkan ini kepada anak yang sudah berkahwin. Lagipun, ramai juga anak bujang yang mahu dekat dengan ibu bapa mereka yang sudah berusia untuk menjaga mereka.
“Ini akan berkuat kuasa mulai pertengahan tahun depan. Butiran lanjut akan diberikan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada kemudian hari,” kata Encik Wong.
Semasa ucapannya, Encik Wong turut menyentuh tentang menyediakan lebih banyak pilihan perumahan untuk warga emas seperti melalui program kebangsaan Sihat Menua SG atau Age Well SG, untuk membolehkan warga emas kekal aktif dan menua dalam masyarakat mereka.
Ini termasuk menyediakan Apartmen Penjagaan Masyarakat, yang merupakan konsep perumahan baru yang mengintegrasikan perumahan mesra warga emas dengan penjagaan dan perkhidmatan sosial.
“Kunci kepada Apartmen Penjagaan Masyarakat pertama iaitu Kampung Harmony @ Bukit Batok akan diserahkan kepada penduduk hujung tahun ini.
“Kami akan terus melancarkan lebih banyak projek sedemikian, menyepadukan perumahan dengan khidmat penjagaan,” kata Encik Wong.
Encik Wong juga menambah bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) dan MND sedang giat mengkaji cara untuk menambah baik rumah warga emas sedia ada, dan menjadikan mereka lebih sesuai bagi warga emas yang memilih untuk tidak berpindah supaya golongan ini boleh menua di tempat mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg