Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hadirin acara di Hab Sukan S’pura melonjak 50% pada 2024

Peningkatan berbanding 2023 dipacu kerancakan bilangan acara sukan, hiburan dan gaya hidup yang diadakan di situ
Dec 18, 2024 | 5:20 PM
Dalam satu kenyataan oleh syarikat yang menguruskan Hab Sukan Singapura iaitu Kallang Alive Sport Management pada 18 Disember, bilangan hadirin yang menghadiri acara di hab sukan itu meningkat sebanyak 50 peratus pada 2024 berbanding 2023, dipacu oleh kerancakan jumlah acara sukan, hiburan dan gaya hidup yang diadakan di sini.
Dalam satu kenyataan oleh syarikat yang menguruskan Hab Sukan Singapura iaitu Kallang Alive Sport Management pada 18 Disember, bilangan hadirin yang menghadiri acara di hab sukan itu meningkat sebanyak 50 peratus pada 2024 berbanding 2023, dipacu oleh kerancakan jumlah acara sukan, hiburan dan gaya hidup yang diadakan di sini. - Foto ZAOBAO

Bilangan orang yang menghadiri acara di Hab Sukan Singapura meningkat dengan ketara pada 2024 daripada jumlah 2023, dipacu kerancakan bilangan acara sukan, hiburan dan gaya hidup yang diadakan di situ.

Jumlah hadirin pada 2024 itu bertambah sebanyak 50 peratus daripada 2023, menurut syarikat yang menguruskan hab sukan itu, Kallang Alive Sport Management (KASM), dalam satu kenyataan pada 18 Disember.

Namun, KASM tidak menyatakan jumlahnya apabila ditanya Berita Harian

Pengerusi KASM, Encik Keith Magnus, berkata kerancakan jumlah acara hiburan, sukan dan gaya hidup yang diadakan di Hab Sukan Singapura secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui kunjungan pelawat dalam dan luar negara.

“Dengan (kerancakan) itu, kami mentransformasikan infrastruktur tetap (di Hab Sukan) untuk dijadikan kenangan yang diukir sepanjang hayat dan mengukuhkan Hab Sukan sebagai lokasi meriah bagi peminat dan masyarakat di Singapura, Asia dan sejagat,” ujarnya.

Hab Sukan Singapura – meliputi tapak seperti Stadium Negara, Stadium Tertutup Singapura (SIS), Pusat Akuatik OCBC dan Arena OCBC – menyaksikan beberapa acara berskala besar pada 2024.

Stadium Negara, misalnya, menjadi lokasi bagi lima konsert utama pada separuh pertama 2024 sahaja, termasuk konsert kumpulan popular Coldplay, yang mengadakan enam persembahan pada Januari.

Begitu juga bintang muzik lain, seperti Ed Sheeran dan Taylor Swift.

Persembahan Ed Sheeran pada Februari dihadiri lebih 60,000 orang, menjadikannya konsert penyanyi itu yang dihadiri paling ramai penonton di Asia.

Taylor Swift pula mengadakan enam persembahan pada Mac, dengan Singapura menjadi satu-satunya lokasi konsert penyanyi itu di Asia selain Jepun.

Konsert terakhir Swift di hab sukan itu dihadiri 63,000 peminat – paling ramai pernah dicatatkan bagi sebuah konsert di Singapura, menurut KASM.

Buat julung-julung kalinya, Stadium Negara menjadi tapak perhimpunan penganut Katolik yang dihadiri sekitar 50,000 orang sempena kunjungan ketua Gereja Katolik, Paus Francis, ke Singapura pada September.

KASM menambah bahawa 2024 menyaksikan tempoh latihan paling panjang di hab sukan itu, dengan atlet Team Singapura (TeamSG) mengumpulkan lebih 40,000 jam berlatih merentasi sukan darat dan akuatik seperti bola sepak, tenis dan renang.

Tempoh itu dijangka meningkat dengan pelaksanaan pelan induk ‘Kallang Alive’, yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapannya dalam Rapat Hari Kebangsaan 2024 pada Ogos.

Encik Wong mengumumkan bahawa atlet kebangsaan akan mendapat rumah baru yang dipanggil ‘Home of Team Singapore’ (Rumah Team Singapura) di Hab Sukan Singapura di bawah pelan induk tersebut, yang akan merangkumi kemudahan di bawah satu bumbung bagi menyokong aspirasi dan kecemerlangan sukan atlet negara.

Kampus baru Sekolah Sukan Singapura, yang kini terletak di Woodlands, pusat sains dan perubatan sukan dipertingkat, pusat latihan nasional bagi sukan penting dan atlet para, dan pejabat persatuan sukan kebangsaan (NSA) akan terletak di satu lokasi, iaitu ‘Home of Team Singapore’.

Encik Magnus berkata pihaknya menantikan pembangunan transformatif yang diumumkan Encik Wong itu agar dapat “terus mencetuskan pecutan industri domestik yang diperbaharui dalam sukan dan hiburan”.

‘Kallang Alive’ juga bakal menempatkan arena tertutup baru yang akan mempunyai 18,000 tempat duduk, yang akan dibina di sebelah SIS bagi menganjurkan acara sukan, hiburan dan gaya hidup bertaraf tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg