Kallang Basin dan Marina Bay adalah sebahagian daripada rancangan Singapura untuk membentuk semula pusat bandarnya, umum Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menyatakan demikian dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos, Encik Wong berkata Marina Channel, lokasi Bendungan Marina, akan menghubungkan Kallang Basin dan Marina Bay bagi membentuk kawasan tepian air yang berterusan di tengah-tengah bandar.
Sementara itu, rancangan juga sedang dibuat untuk melanjutkan dan melakar semula keseluruhan persisiran pantai di selatan Singapura.
“Ini adalah pelaburan besar. Ia akan mengambil masa beberapa dekad untuk membuahkan hasil. Lagipun, rancangan menambak tanah dan membangunkan Marina Bay bermula sejurus selepas Singapura merdeka.
“Begitu juga mulai sekarang, kita boleh meletakkan asas bagi Singapura yang lebih baik dalam dekad yang akan datang,” katanya.
Encik Wong berkongsi tentang pelbagai pembangunan baru yang boleh dijangkakan di sekitar kawasan tepian air Kallang Basin, Marina Channel dan Marina Bay, seperti Dataran NS (Perkhidmatan Negara) bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) akan datang, dan Bay East Garden yang akan menempatkan Taman Tugu Pengasas.
Satu jambatan pejalan kaki baru akan didirikan untuk menghubungkan Bay South Garden ke Bay East Garden dan Taman Tugu Pengasas.
Ini akan membolehkan orang ramai berjalan kaki, berlari-lari anak atau berbasikal di sepanjang kawasan tepian air itu dari Gardens by the Bay ke Hab Sukan Singapura, ujar Encik Wong.
Beliau turut menyebut tentang rancangan membentuk daerah baru di sekeliling kawasan tepian pantai itu seperti di Nicoll dan Kampong Bugis.
Dua daerah yang terletak dengan kawasan bersejarah Singapura itu akan ditambah dengan pelbagai kegunaan riadah dan kediaman baru.
Encik Wong berkata flat HDB baru akan dibangunkan di Tanjong Rhu, yang kini terdiri daripada rumah swasta.
Ini supaya lebih ramai warga mempunyai akses kepada rumah dekat dengan pusat bandar yang dimampui, katanya.
Tapak tanah besar di Marina South dan Marina East pula akan dibangunkan untuk menempatkan 10,000 rumah baru.
Mengenai rancangan melakar semula persisiran pantai di selatan Singapura, Encik Wong berkata bahagian barat ke Pasir Panjang menempatkan Greater Southern Waterfront dan bahagian timur pula akan menempatkan ‘Long Island’ akan datang yang akan melindungi negara daripada peningkatan paras laut.
Secara keseluruhan, kawasan itu terdiri daripada persisiran pantai sepanjang 120 kilometer.
“Terdapat banyak kemungkinan untuk kita bayangkan dan bangunkan bandar masa depan kita,” kata Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg