Topic followed successfully
Go to BHkuHaji: Bakal jemaah teruskan persiapan, kekal waspada
Haji: Bakal jemaah teruskan persiapan, kekal waspada
Ada yang bimbang tahap kesihatan, andai jadual musim haji 2026 diubah atau ditunda
Haji: Bakal jemaah teruskan persiapan, kekal waspada
Walaupun persiapan haji berjalan lancar bagi bakal jemaah haji yang dihubungi Berita Harian (BH), ada yang mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan perlindungan tambahan melalui insurans swasta, kerana bimbang akan ketidaktentuan di Timur Tengah.
Bakal jemaah berusia 56 hingga 61 tahun itu juga menyuarakan kebimbangan tentang kemampuan mereka untuk kekal sihat sekiranya jadual musim haji 2026 terpaksa diubah atau ditunda.
Kebimbangan itu timbul menyusuli syarat mandatori sijil kesihatan 2026, yang mewajibkan jemaah bebas daripada penyakit kronik – seperti masalah ginjal atau jantung kronik –sebelum berangkat.
Jemaah haji ini yang dijadual berlepas dari Singapura antara 8 dengan 14 Mei, telah menempah pakej 24 atau 25 hari berharga lebih $20,000 melalui ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) pakej haji yang diluluskan.
Antara mereka ialah Cik Noor Seha Mohamad Salleh, 60 tahun, seorang pegawai penyesuaian klien baharu di Deutsche Bank AG.
Beliau yang mendaftar haji sejak 2013, akan menunaikan ibadah itu bersama suaminya, Encik Idris Abdul Wahab, selama 24 hari pada musim haji 2026 melalui Jalaluddin Travel & Services. Rombongan mereka dijadual berlepas pada 14 Mei.
“Saya sememangnya mengambil berat tentang isu di Timur Tengah ketika ini.
“Keadaan agak membimbangkan, terutamanya dari segi penerbangan. Saya juga bimbang jika berlaku gangguan atau lapangan terbang ditutup.
“Namun, saya berharap dengan Saudia Airlines, perjalanan kami akan tenang. Kenalan yang telah menunaikan umrah pada awal Ramadan ini pun menaiki penerbangan Saudia Airlines dan mereka selamat pergi serta pulang.
“Saya dan suami juga akan mengambil perlindungan insurans tambahan. Selain insurans yang disediakan oleh ejen, kami turut mengambil insurans peribadi.
“Insurans asas biasanya tidak meliputi risiko berkaitan pergolakan atau konflik, jadi kami memilih mengambil pakej insurans tambahan yang meliputi kelewatan penerbangan, penginapan hotel tambahan jika terkandas, bagasi hilang dan sebagainya,” kata Cik Noor Seha.
Selain beliau, Cik Noor Azida Abdul Rahman, 56 tahun, juga bakal menunaikan ibadah haji sendiri selama 25 hari, mulai 8 Mei hingga 1 Jun, bersama Shahidah Travel & Tours.
Kesihatan menjadi kebimbangan utama Cik Azida, seorang guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Singapura.
Meskipun sihat setakat ini, Cik Azida khuatir jika beliau dapat mengekalkan tahap kesihatannya andai musim haji 2026 terjejas dan ditunda.
“Satu-satunya yang saya bimbangkan ialah soal kesihatan. Sama ada keadaan kita akan kekal seperti sekarang atau tidak.
“Saya rasa kebanyakan daripada kita berkongsi kebimbangan yang sama. Kita sihat hari ini, tetapi hari esok belum tentu,” kongsi Cik Azida, yang sudah berumah tangga dengan dua orang anak.
Berkongsi kebimbangan serupa ialah Encik Idris, 61 tahun, seorang pegawai pematuhan.
“Kini, saya tumpukan kepada persiapan mental dan fizikal. Banyakkan bersenam, kurangkan makan agar badan lebih ringan.
“Perkara lain, seperti apa yang berlaku di Timur Tengah, saya serahkan kepada ketentuan Tuhan.
“Yang penting, pertama, kita sudah mendapat panggilan untuk tunaikan haji, dan kedua, kita tidak tahu bila lagi peluang untuk pergi itu akan datang.
“Jadi, saya akan teruskan persiapan seperti biasa,” kata Encik Idris, bapa tiga orang anak.

