Tiga wanita yang didakwa menganjurkan perarakan tanpa permit di sekitar kawasan Istana bagi menyuarakan perpaduan dengan rakyat Palestin telah dibebaskan daripada dakwaan tersebut pada 21 Oktober.
Cik Mossammad Sobikun Nahar, 26 tahun; Cik Siti Amirah Mohamed Asrori, 30 tahun; dan Cik Annamalai Kokila Parvathi, 37 tahun, didakwa menganjurkan perarakan pada 2 Februari 2024 di sekitar kawasan Istana, antara 2 petang dengan 3 petang.
Perarakan tersebut meliputi kawasan Orchard Road, Buyong Road dan Cavenagh Road.
Dalam kenyataan sebelum ini, polis berkata sekitar 70 orang telah berkumpul di luar sebuah pusat beli-belah di Orchard Road pada 2 Februari sebelum berjalan secara berkumpulan ke Istana.
Mereka berarak sambil memegang payung terbuka bermotif tembikai, yang merupakan lambang perjuangan dan perpaduan bersama rakyat Palestin.
Ketiga-tiga wanita itu masing-masing didakwa di bawah Akta Ketenteraman Awam, dengan perbicaraan bermula pada 1 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Dalam membebaskan ketiga-tiga wanita itu pada 21 Oktober, Hakim Daerah John Ng berkata, mereka mempunyai alasan kukuh dan munasabah untuk tidak mengetahui laluan awam yang mereka lalui untuk menghantar surat ke Istana adalah kawasan larangan.
Beliau menambah walaupun pihak pendakwa berjaya membuktikan Cik Sobikun dan Cik Amirah telah menganjurkan perarakan itu dengan bantuan Cik Annamalai, mereka gagal menunjukkan ketiga-tiga wanita tersebut sepatutnya mengetahui perarakan itu telah diadakan di kawasan larangan.
Hakim turut berkata wanita-wanita itu tidak mengetahui secara wajar laluan yang mereka ambil dari Plaza Singapura ke Istana merupakan kawasan larangan di bawah Akta Ketenteraman Awam.
“Kesimpulannya, pembebasan terhadap ketiga-tiga individu adalah wajar,” kata Hakim Ng, disambut dengan helaan nafas orang ramai yang kedengaran kuat di dalam mahkamah yang sesak.
Mereka yang disabit kesalahan menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga $10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg