Hakim Daerah, Encik Soh Tze Bian, telah melepaskan jawatan sebagai hakim dan timbalan pendaftar Mahkamah Negara.
Satu notis dalam Warta Pemerintah yang diterbitkan pada 16 Januari menyatakan Encik Soh tidak lagi memegang jawatan hakim daerah serta timbalan pendaftar Mahkamah Negara sejak 17 Januari, lapor akhhar The Straits Times (ST).
Menjawab pertanyaan media, jurucakap badan kehakiman berkata pada 11 Februari, Encik Soh yang dilantik sebagai hakim daerah pada 1 Ogos 2008, telah bersara daripada Perkhidmatan Kehakiman Singapura.
Encik Soh mendapat perhatian media dalam dua tahun terakhir (2023 dan 2024) selepas mutu kerjanya yang menimbulkan keraguan didedahkan secara terbuka oleh dua hakim Mahkamah Agung.
Pada September 2023, Ketua Hakim Sundaresh Menon, berkata Encik Soh gagal memenuhi piawaian profesional yang diharapkan daripada badan kehakiman selepas didapati menyalin sebahagian besar keterangan pihak pendakwa sebagai sandaran penghakiman dan keputusan yang dibuat secara bertulis.
Ketua Hakim Menon memutuskan, walaupun tindakan hakim daerah tersebut tidak memuaskan secara keseluruhan dari sudut amalan kehakiman, ia tidak menimbulkan syak wasangka munasabah yang menunjukkan beliau berat sebelah.
Katanya lagi: “Saya tidak menganggap ini sebagai rata-rata sikap umum pegawai kehakiman kita, yang secara konsisten menegakkan piawaian tertinggi dalam menjalankan tanggungjawab berat yang diamanahkan bagi kerja seharian mereka.
“Usaha mereka tidak seharusnya dicemari oleh kejadian ini.”
Beliau menyatakan demikian ketika mengumumkan tentang keputusan menerima rayuan seorang lelaki yang telah dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada April 2023 oleh Encik Soh atas kesalahan bersekongkol dengan seorang doktor untuk memalsukan rekod vaksinasi Covid-19.
Ketua Hakim Menon kemudian mengurangkan tempoh penjara pesalah itu kepada 12 minggu selepas membuat kesimpulan, risiko kemudaratan kepada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) adalah rendah.
Kejadian kedua berlaku pada Disember 2024, apabila Encik Soh sekali lagi menggunakan sebahagian besar hujah pihak pendakwa dalam penghakimannya tanpa melakukan analisis sendiri.
Dalam satu penghakiman bertulis, Hakim Mahkamah Tinggi Aidan Xu, berkata Encik Soh gagal meneliti keterangan yang dimiliki berkenaan kes seorang pemandu teksi yang disabitkan dengan kesalahan mencabul seorang gadis remaja.
Walaupun Hakim Xu tidak menyebut nama hakim daerah tersebut dalam penghakimannya, mengikut amalan penghakiman mahkamah rayuan, beliau dikatakan merujuk pada Encik Soh.
Selepas pemandu teksi itu merayu tentang hukuman lapan bulan yang dijatuhkan kepadanya, Hakim Xu membatalkan keputusan Encik Soh dan menghakimi kes itu semula.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi membuat kesimpulan bahawa tidak ada bukti berat sebelah yang jelas, dan sabitan kesalahan serta hukuman tetap dikekalkan.
Apabila ditanya jika persaraan Encik Soh disebabkan oleh mutu kerjanya yang sering dikecam, jurucakap badan kehakiman itu berkata mereka tiada komen lanjutan mengenai perkara ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg