Bahagian pertama perbicaraan ke atas Encik Pritam Singh melabuhkan tirai pada 24 Oktober selepas sembilan hari, dengan Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan meminta pihak pendakwa raya dan pembela supaya memperjelaskan bahagian tertentu daripada pertuduhan pertama terhadap Encik Pritam menerusi pemfailan.
Menurut Tuan Hakim, beberapa perkataan khusus yang digunakan dalam dakwaan terhadap Encik Pritam, seperti yang dirangka dalam pertuduhan, tidak terdapat dalam petikan pertukaran beliau di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Encik Pritam, Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang (LO), hadir di mahkamah sekitar 11.20 pagi.
Beliau diapit bapanya, Encik Amarjit Singh – mantan Hakim Daerah dan pendakwa raya – semasa perbicaraan dalam bilik yang padat dengan orang awam dan pihak media.
Pertuduhan pertama menyatakan bahawa Encik Pritam telah memberi keterangan palsu di hadapan COP pada 10 Disember 2021.
Ia bersangkutan beliau mahu Cik Raeesah Khan, bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, menjelaskan pembohongannya di Parlimen setelah mengadakan pertemuan dengan Cik Raeesah, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap pada 8 Ogos 2021.
Semasa perbicaraan, pihak pembela, yang diketuai peguam Encik Andre Jumabhoy, juga telah bercadang memfailkan hujahan bertulis dengan alasan tiada sebab bagi pihak pembela menjawab pertuduhan pertama.
Jika berjaya dan Tuan Hakim bersetuju dengan hujah pihak pembela, ini bermakna pertuduhan pertama boleh ditolak dan kes terhadap Encik Pritam hanya tertumpu pada pertuduhan kedua.
Secara alternatif, mahkamah boleh mengubah pertuduhan atau menambah pertuduhan baru sebelum memanggil Encik Pritam untuk membela diri.
Tuan Hakim memberikan pihak pembela sehingga tengah hari, 30 Oktober, untuk membuat pemfailan, dengan pihak pendakwa raya perlu memfailkan tindak balas selewat-lewatnya pada 1 November.
Awal dari itu, pihak pendakwa raya, yang diketuai Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock, turut mengemukakan fakta berkenaan siasatan polis terhadap Encik Pritam.
DAG Ang berkata telefon bimbit Encik Pritam telah dirampas oleh pihak polis semasa siasatan dan mereka menyemak telefon bimbit beliau di samping kehadiran Encik Pritam.
Selepas telefon beliau selesai disemak, polis memutuskan untuk tidak melaksanakan pemeriksaan forensik terhadap kandungan telefon bimbitnya, tambah DAG Ang.
Pihak pembela kemudian menyatakan pihaknya bersetuju dengan fakta yang telah dikemukakan.
Encik Pritam dikenakan dua pertuduhan berhubung dakwaan pembohongannya kepada COP yang bersidang pada November 2021 untuk menyiasat pembohongan Cik Raeesah di Parlimen.
Cik Raeesah telah berbohong di Parlimen pada 3 Ogos 2021 mengenai beliau menemani seorang mangsa rogol ke balai polis dan telah mengakui pembohongan tersebut di Parlimen pada 1 November 2021.
Tuan Hakim menangguhkan perbicaraan dan bahagian perbicaraan seterusnya dijangka bermula pada 5 November, 9.30 pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg