Perbicaraan Ketua Parti Pekerja (WP) yang juga Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, ditangguh pada 22 Oktober kerana peguamnya, Encik Andre Jumabhoy, sakit.
Selepas lebih sejam prosiding pada 22 Oktober tertangguh, seorang lagi peguam Encik Pritam, Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang, memberitahu mahkamah bahawa Encik Jumabhoy tidak sihat dan telah menerima sijil cuti sakit yang menyatakan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah selama dua hari.
Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan meluluskan permohonan pihak pembelaan supaya perbicaraan itu ditangguhkan sehingga petang 23 Oktober.
Encik Eng berkata beliau akan memberitahu mahkamah mengenai situasi Encik Jumabhoy, dan sama ada prosiding boleh disambung semula pada 2.30 petang pada 23 Oktober, lapor The Straits Times.
Perbicaraan Encik Pritam sepatutnya disambung semula pada 11 pagi pada 22 Oktober, tetapi ditangguhkan sehingga kira-kira 12.20 tengah hari kerana peguam daripada kededua pihak bertemu hakim.
Kededua pihak pendakwa dan pihak pembela telah menjangkakan keputusan hakim mengenai permohonan yang dibuat oleh Encik Jumabhoy pada 21 Oktober, agar mesej bekas kader WP, Encik Yudhishthra Nathan, yang tidak disunting dari 4 Oktober hingga 12 Oktober 2021, dikemukakan di mahkamah.
Hakim berkata beliau akan menyemak mesej-mesej tersebut bersama bukti daripada Encik Nathan sebelum membuat keputusan.
Dua pertuduhan yang dikenakan ke atas Encik Pritam berhubung dakwaan pembohongannya kepada jawatankuasa parlimen yang bersidang pada November 2021 untuk menyiasat pembohongan mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, di Parlimen.
Bagi setiap pertuduhan, Encik Pritam berdepan denda maksimum $7,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kededuanya sekali.
Pihak pembela dijangka menyelesaikan soal balas terhadap Encik Nathan pada 23 Oktober.
Selepas pendakwaan selesai memeriksa semula Encik Nathan, ia dijangka memanggil mantan Setiausaha Agung WP, Encik Low Thia Khiang, sebagai saksi seterusnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg