Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Low Thia Khiang: Parlimen wadah tepat bagi Raeesah mohon maaf atas pembohongan

Turut cadangkan Pritam bentuk panel disiplin WP susulan pengakuan pembohongan Raeesah
Oct 23, 2024 | 7:57 PM
Mantan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Low Thia Khiang, tampil memberi keterangan dalam perbicaraan melibatkan Setiausaha Agung WP semasa, Encik Pritam Singh, yang memasuki hari kelapan pada 23 Oktober.
Mantan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Low Thia Khiang, tampil memberi keterangan dalam perbicaraan melibatkan Setiausaha Agung WP semasa, Encik Pritam Singh, yang memasuki hari kelapan pada 23 Oktober. - Foto ST

Mantan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Low Thia Khiang, berkongsi dengan Cik Sylvia Lim dan Encik Pritam Singh bahawa wadah yang tepat bagi mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, memohon maaf atas pembohongannya adalah melalui Parlimen.

Encik Low berkata demikian sebagai menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ben Mathias Tan.

Beliau tampil bagi memberikan keterangannya sekitar 4.15 petang pada hari kelapan perbicaraan Encik Pritam pada 23 Oktober.

Encik Pritam, Setiausaha Agung WP yang juga Ketua Pembangkang (LO), dikenakan dua pertuduhan berhubung dakwaan pembohongannya kepada Jawatankuasa Parlimen yang bersidang pada November 2021 untuk menyiasat pembohongan Cik Raeesah di Parlimen.

Semasa perbicaraan, DPP Tan mengajukan pertanyaan sekiranya Encik Pritam atau Cik Lim memberitahu Encik Low bahawa mereka telah memaklumkan Cik Raeesah untuk menjelaskan pembohongannya di Parlimen ketika mereka ke rumah Encik Low pada 11 Oktober 2021 – Encik Low menjawab tidak pada pertanyaan tersebut.

Encik Low berkata Encik Pritam dan Cik Lim mengunjungi rumahnya kerana mereka menimbangkan untuk mengadakan sidang media agar Cik Raeesah memohon maaf atas pembohongan yang diutarakan di Parlimen pada 3 Ogos 2021 berkaitan beliau menemani seorang mangsa rogol ke balai polis.

“Memandangkan Raeesah Khan telah berbohong di Parlimen, wadah tepat bagi memohon maaf adalah di Parlimen,” ujarnya.

Susulan itu, DPP Tan bertanya jika ada sesiapa lagi tahu tentang pembohongan Cik Raeesah.

Encik Low menjawab beliau turut mengajukan soalan serupa – sekiranya pihak pemerintah tahu tentang pembohongan tersebut – kepada Cik Lim dan Encik Pritam ketika pertemuan di rumahnya itu.

Beliau berkata Cik Lim menjawab pemerintah tidak tahu dan “ia tidak mudah untuk mengetahuinya kerana ada banyak stesen polis di Singapura”.

Menurut Encik Low, Cik Lim dan Encik Pritam memaklumkan beliau bahawa mereka merancang memecat Cik Raeesah daripada WP.

Encik Low turut menjelaskan kepada mahkamah beliau mencadangkan kepada Encik Pritam supaya menubuhkan panel disiplin WP melalui pemesejan teks susulan pengakuan pembohongan Cik Raeesah di Parlimen pada 1 November.

Pada 2 November 2021, panel tersebut dibentuk dan dianggotai Encik Pritam, Cik Lim selaku pengerusi WP dan Encik Faisal Abdul Manap selaku timbalan pengerusi WP.

Dapatan panel tersebut dihantar ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP bagi pertimbangan lanjut.

Dalam pertemuan Encik Low dengan Cik Lim pada 18 Oktober 2021 pula di rumahnya, beliau memberitahu mahkamah Cik Lim memaklumkannya Cik Raeesah bersetuju memohon maaf tentang pembohongannya di Parlimen.

Namun, beliau memberitahu Cik Lim supaya “melihat draf permohonan maaf (Cik Raeesah)”.

“Saya tidak ingin permohonan maaf itu menjadi satu lagi pembohongan,” kata Encik Low, sebagai menjawab soalan DPP Tan berkenaan pertemuan pada 18 Oktober itu.

Encik Low juga berkongsi beliau hanya tahu pada Ogos 2023 bahawa Cik Lim, Encik Pritam dan Encik Faisal telah sedia maklum tentang pembohongan Cik Raeesah, sambil menambah beliau tidak tahu bila Cik Raeesah telah berbohong.

Awal dari itu, Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan menolak permohonan pihak pembela, yang diketuai peguam Encik Andre Jumabhoy, yang dibuat pada 21 Oktober.

Pihak pembela memohon agar mesej bekas kader WP, Encik Yudhishthra Nathan, yang tidak disunting dari 4 Oktober hingga 12 Oktober 2021, dikemukakan di mahkamah.

Mengulas keputusannya, Tuan Hakim berkata beliau telah meneliti mesej sedemikian dengan teliti, dan berpuas hati bahawa tiada satu mesej yang relevan dengan rasa bersalah atau tidak bersalah terhadap Encik Pritam.

Beliau menambah, mesej itu tidak menjejas kes pihak pendakwa raya atau mengukuhkan kes pihak pembela dalam konteks perbicaraan jenayah.

Pihak pembela juga telah selesai menyoal balas Encik Nathan, salah seorang daripada dua anggota kader WP ketika itu yang berhubung rapat dengan Cik Raeesah – seorang lagi ialah Cik Loh Pei Ying.

Encik Jumabhoy menyoal sebab Encik Nathan tidak memberitahu Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) tentang satu “perubahan strategi parti” susulan pertemuan pada 12 Oktober 2021 yang dihadiri beliau dengan Encik Pritam.

Apabila Encik Jumabhoy bertanya sama ada beliau sengaja menyimpan maklumat tersebut daripada COP, Encik Nathan berkata ia “tidak terlintas di fikiran pada waktu itu”.

Perbicaraan bersambung pada 24 Oktober, 11.30 pagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg