Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hakim putuskan Pritam ada kes untuk dijawab

Nov 5, 2024 | 5:31 PM
Ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh (tengah) memilih memberi keterangan pada 5 November selepas hakim memutuskan beliau mempunyai kes untuk dijawab bagi kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh (tengah) memilih memberi keterangan pada 5 November selepas hakim memutuskan beliau mempunyai kes untuk dijawab bagi kedua-dua pertuduhan terhadapnya. - Foto ZAOBAO

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, memilih untuk memberi keterangan di mahkamah, selepas Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan memutuskan pada 5 November bahawa ada kes untuk beliau jawab atas kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Keputusan hakim dibuat selepas peguam Encik Pritam, Encik Andre Jumabhoy, membuat hujahan bertulis menolak dua pertuduhan terhadap Ketua Pembangkang itu berhubung dakwaan pembohongan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Pihak pendakwa telah menyelesaikan kesnya pada 24 Oktober selepas memanggil empat saksi ke mahkamah, termasuk bekas Anggota Parlimen GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan.

Pada 5 November, hakim mendapati kes pendakwaan cukup kukuh berhubung kedua-dua pertuduhan itu, lapor The Straits Times.

Encik Pritam diminta mengemukakan pembelaannya sama ada dengan mengambil pendirian atau memilih untuk berdiam diri.

Beliau memilih memberi keterangan di hadapan mahkamah.

Kes pendakwaan menuduh Encik Pritam telah dua kali berbohong kepada COP yang bersidang pada November 2021 untuk menyiasat kenyataan tidak benar Cik Raeesah di Parlimen.

Cik Raeesah, pada 3 Ogos 2021, memberitahu Parlimen bagaimana beliau menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, dengan mangsa dikatakan diperlakukan secara tidak sensitif.

Beliau mengulangi tuntutan itu di hadapan Dewan pada 4 Oktober tahun yang sama (2021), sebelum mengakui pembohongannya pada 1 November 2021.

Encik Pritam memberi keterangan bagaimana beliau menghadapi kesukaran memahami mengapa Cik Raeesah menangis selepas diminta menjelaskan anekdot rogolnya.

Encik Pritam mempertikaikan dua pertuduhan yang belum pernah berlaku sebelum ini di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewaan, Kekebalan dan Kuasa) dengan sengaja memberi jawapan palsu kepada COP, yang telah bersidang untuk menyiasat perilaku Cik Raeesah.

Pertuduhan pertama mendakwa Encik Pritam berbohong apabila beliau mahu Cik Raeesah menjelaskan ketidakbenarannya di Parlimen, ketika kedua-duanya bertemu pada 8 Ogos 2021, bersama pemimpin WP, Cik Sylvia Lim dan Encik Muhamad Faisal Abdul Manap.

Pertuduhan kedua mendakwa beliau memberi jawapan palsu kepada jawatankuasa Parlimen apabila mengatakan bahawa beliau menyuruh Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021, supaya menjelaskan ceritanya tentang mangsa rogol itu jika isu itu timbul di Parlimen pada hari berikutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg