SPH Logo mobile
Langgan|

Hamas tolak cadangan gencatan senjata terbaru Israel, ingin tamat perang serta-merta

Hamas tolak cadangan gencatan senjata terbaru Israel, ingin tamat perang serta-merta

Turut gesa sambung semula kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikenakan sekatan penuh sejak 2 Mac
Apr 18, 2025 | 7:42 PM

Hamas tolak cadangan gencatan senjata terbaru Israel, ingin tamat perang serta-merta

Orang ramai mengusung jenazah seorang rakyat Palestin selepas serangan Israel ke atas sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal, di luar kawasan sekolah di kem pelarian Jabalia, di utara Jaluran Gaza.
Orang ramai mengusung jenazah seorang rakyat Palestin selepas serangan Israel ke atas sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal, di luar kawasan sekolah di kem pelarian Jabalia, di utara Jaluran Gaza. - Foto REUTERS

GAZA: Hamas memberi isyarat menolak cadangan gencatan senjata terbaru Israel dengan menuntut satu perjanjian menyeluruh bagi serta-merta menamatkan sama sekali perang yang berlarutan selama 18 bulan.

Ketua perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya, berkata demikian selepas pasukan pertahanan awam di Gaza pada 17 April, melaporkan serangan udara terbaru dilancarkan tentera Israel yang membunuh sekurang-kurangnya 40 penduduk Palestin.

“Perjanjian separa yang digunakan oleh Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu hanya sebagai helah untuk agenda politik peribadinya.

“Kami tidak akan bersubahat dengan dasar ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.

Emir Qatar, yang bersama Mesir dan Amerika Syarikat, menjadi perantara gencatan senjata pada Januari lalu, pada 17 April, menyalahkan Israel atas kegagalan perjanjian itu.

“Seperti yang anda sedia maklum, kami telah mencapai persetujuan beberapa bulan lalu, malangnya Israel tidak mematuhi perjanjian tersebut,” kata Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani semasa lawatan ke Moscow, Russia.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh kali ini sedang berlindung di khemah pelarian ketika tentera Israel terus melancarkan serangan di wilayah Palestin.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung laporan serangan itu.

Menurut sumber Hamas, kumpulan itu sudah menghantar maklum balas bertulis kepada pihak pengantara pada 17 April, berhubung cadangan Israel melaksanakan gencatan senjata selama 45 hari.

Dalam cadangan itu, Israel menuntut pembebasan 10 tebusan yang masih hidup dan kini ditahan oleh Hamas.

Sebagai balasan, Hamas menuntut pembebasan seramai 1,231 tahanan dan banduan Palestin yang meringkuk dalam penjara Israel.

Selain itu, Hamas menggesa sambungan semula kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikenakan sekatan penuh sejak 2 Mac oleh Israel.

Hamas mahukan pertukaran tahanan secara pakej tunggal, menamatkan perang, pengunduran pencerobohan tentera dari Jaluran Gaza dan pembinaan semula wilayah terbabit.

Namun, Israel bertindak menetapkan syarat menuntut Hamas melucutkan senjata sepenuhnya bagi menamatkan peperangan, satu tuntutan yang ditolak oleh kumpulan itu.

Sebelum ini, perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan pernah dimeterai pada 19 Januari lalu (2025), namun segalanya hanya mampu bertahan selama dua bulan.

Agensi Berita dan Penerangan Palestin (Wafa) yang memetik sumber perubatan melaporkan jumlah korban rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 51,065 orang, manakala 116,505 lagi dilaporkan cedera, sejauh ini.

Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Pasukan kecemasan masih tidak dapat mengakses ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan atau terbiar di atas jalan raya di wilayah yang dilanda perang, berikutan serangan berterusan tentera pendudukan Israel terhadap anggota pasukan ambulans dan pasukan pertahanan awam, menurut sumber sama.

Serangan genosid Israel berterusan tanpa halangan meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru agar gencatan senjata segera dilakukan, manakala Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengeluarkan arahan bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai serta meredakan krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg