Hampir 100 lubang jalan dikesan pada 12 hari pertama 2025 akibat hujan berpanjangan di Singapura walaupun jumlah tahunan keseluruhan menunjukkan penurunan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Terdapat beberapa lubang yang terbentuk di sepanjang Tanah Merah Coast Road dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Ia dirakam dalam video oleh seorang penunggang basikal pada 11 Januari.
Dalam video sepanjang empat minit yang dikongsi di Facebook, lebih 20 lubang jalan boleh dilihat di tiga laluan di Tanah Merah Coast Road, lapor The Straits Times (ST).
Lubang-lubang tersebut dipenuhi air, disebabkan hujan yang turun di seluruh Singapura semasa lonjakan monsun 10 hingga 13 Januari.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dimaklumkan mengenai lubang jalan tersebut dan telah membaikinya pada 12 Januari, kata jurucakap, sebagai respon kepada pertanyaan ST.
Hanya satu lubang jalan ditemui semasa pemeriksaan LTA pada 9 Januari di laluan yang sama, dan ia telah dibaiki segera, tambah jurucakap tersebut.
LTA juga menyatakan bahawa hampir 100 lubang jalan dikesan dari 1 hingga 12 Januari – masih lebih rendah berbanding 776 lubang yang ditemui dalam tempoh yang sama pada 2024.
Pada Januari dan Februari 2024, LTA mengesan kira-kira 60 peratus lebih banyak lubang jalan berbanding tempoh yang sama pada 2023, disebabkan hujan yang lebih panjang dan lebat dalam dua minggu pertama 2025.
Retakan pada permukaan jalan berlaku akibat penggunaan yang banyak, dan ia biasanya dibaiki sebagai sebahagian daripada pemeriksaan, penyenggaraan, dan kerja penurapan jalan biasa LTA.
Lubang jalan terbentuk apabila air meresap ke dalam retakan dan menjadi lebih besar apabila kenderaan melaluinya.
“Keadaan ini bertambah buruk dengan hujan lebat yang berpanjangan,” kata jurucakap tersebut.
Namun, dengan penyenggaraan jalan yang lebih awal dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah lubang jalan yang dikesan di seluruh Singapura setiap tahun turun dengan stabil sejak 2021, menurut angka yang diberikan oleh LTA.
Pada 2024, terdapat 3,013 lubang jalan, berbanding 9,702 pada 2021; 4,517 pada 2022; dan 3,817 pada 2023.
LTA mengambil langkah awal dengan mempercepatkan penurapan jalan di kawasan yang sibuk dengan kenderaan berat atau trafik tinggi.
Dengan Singapura sekarang berada dalam fasa hujan monsun timur laut hingga akhir Januari, Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura, Encik Bernard Tay, menasihati pemandu supaya memastikan kereta mereka berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata: “Pemandu boleh bersiap sedia menghadapi cuaca hujan dengan memastikan pengelap kereta berfungsi dan tayar tidak haus.”
Apabila pemandu menemui lubang jalan, mereka perlu mengelak dari lubang itu dan memperlahankan kenderaan jika boleh, kerana mereka boleh mengalami tayar bocor atau kerosakan rim tayar, tambahnya.
LTA menggalakkan orang ramai melaporkan masalah di jalan raya, seperti lubang jalan, melalui laman web mereka atau fungsi Snap & Send dalam aplikasi mudah alih MyTransport.SG atau aplikasi OneService Pejabat Perkhidmatan Bandar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg