Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir $40,000 dikumpul bantu mangsa serangan jantung di Madrid

Pusat pengajian Al-Quran setempat tubuh dana tampung keperluan keluarga pelajar
May 11, 2025 | 5:30 AM
Siti Dahlia Mohd Dali, Madrid, hospital
Pengarah institut pengajian Al-Quran, AtTartil Quranic Institute, Ustaz Zulkiflee Bachik (dua dari kanan), bersama keluarga Cik Siti Dahlia Mohd Dali, iaitu suami beliau, Encik Mohd Nordin Varijan (dua dari kiri); anak sulungnya, Cik Fatin Syahirah Mohd Nordin, dan suami beliau, Encik Muhammad Akid Abdul Rahman, di Hospital Clinico Universitario San Carlo, di Madrid. - Foto FACEBOOK ATTARTIL QURANIC INSTITUTE

Kisah yang melanda Cik Siti Dahlia Mohd Dali, warga Singapura yang menghadapi serangan jantung semasa bercuti bersama suami di Madrid, Sepanyol, telah menyentap relung hati ramai khususnya mereka yang mengenalinya.

Dalam masa beberapa hari sahaja, hampir $40,000 dapat dikumpulkan bagi membantu menampung keperluan Cik Siti Dahlia, 61 tahun, yang kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU), di Hospital Clinico Universitario San Carlo, di Madrid. 

Dinamakan Dana Ihsan, ia dimulakan oleh Pengarah AtTartil Quranic Institute, Ustaz Zulkiflee Bachik, 57 tahun, sejurus sahaja beliau menerima berita yang menimpa salah seorang pelajarnya itu.

“Beliau salah seorang pelajar senior saya dan selalu masak dan bawa makanan ke kelas... alhamdulillah kami dapat kumpulkan 8,000 euro ($11,686) dalam masa kurang dua jam.

“Sumbangan datang mencurah-curah daripada pelajar, bekas pelajar AtTartil dan orang yang kami tidak kenali,” kata Ustaz Zulkiflee kepada Berita Minggu.

Cik Siti Dahlia, mula mengikuti kelas mingguan, Bahasa Al-Quran Dipermudah atau ‘Quranic Language Made Easy’ (QLME) sejak Oktober 2021 dan dijadual menghadiri majlis tamat pengajian pada 31 Mei.

Sepanjang sekitar tiga tahun setengah, Cik Aziah Ismail, 60 tahun, pesara yang pernah bertugas dalam bidang pentadbiran, merupakan salah seorang rakan sekelas Cik Siti Dahlia.

“Apabila saya dapat tahu daripada ustaz (tentang keadaan Siti Dahlia), saya sedih... sedih sangat... sebab saya baru ‘berbual’ dengan dia... kami berbalas mesej (mengenai majlis tamat pengajian pada 31 Mei).

“Kami ada tiga sesi kelas lagi dan nak ambil gambar beramai-ramai di dalam kelas sebagai kenangan sebelum acara,” kata Cik Aziah yang menyifatkan Cik Siti Dahlia, sebagai pelajar yang murah senyuman, fokus dan sanggup bangun awal semata-mata untuk memasak dan berkongsi rezeki menjamu rakan sekelas juadah hasil tangannya.

Bagi Ustaz Zulkiflee, beliau memutuskan untuk terbang ke Madrid setelah menilai keperluan keluarga itu.

“Rancangan awal saya ialah untuk memberikan sokongan moral kepada keluarganya.

“Apatah lagi apabila dapat tahu kos pengebumian di sana mahal dan prosesnya juga sulit.

“Jenazah perlu dibawa ke Valencia untuk dikebumikan di sana,” kata Ustaz Zulkiflee.

Awal dari ini, anak sulung Cik Siti Dahlia, Cik Fatin Syahirah Mohd Nordin, 33 tahun, guru sekolah antarabangsa, berkata keluarganya telah menemui imam di Madrid.

Melaluinya, mereka mendapat tahu tentang proses pengebumian di situ.

Menurut imam tersebut, kerana kekurangan tanah di Madrid, pengebumian perlu dilakukan di Valencia – perjalanan empat jam melalui darat dari Madrid.

Proses mempersiap pengebumian dibuat apabila doktor memberitahu pihak keluarga agar bersiap menghadapi kemungkinan kehilangannya, kerana serangan jantung itu telah menyebabkan kegagalan beberapa organ Cik Siti Dahlia.

Suri rumah, yang pada umumnya sihat, tiba-tiba mengalami serangan jantung, sehari dua setelah tiba di Madrid bersama suami, Encik Mohd Nordin Varijan, 63 tahun, seorang pesara.

Pasangan itu dijadual bercuti bersama di Sepanyol dan Maghribi selama 12 hari dan seharusnya pulang ke Singapura pada 9 Mei.

Sementara itu, dalam video yang dirakam dari hospital di Madrid khusus untuk pelajar dan penyumbang Dana Ihsan, Ustaz Zulkiflee berkata:

“Asalnya kita datang ke sini untuk uruskan pengebumian tetapi tidak berlaku atas izin Allah swt kerana sudah ada tanda-tanda tindak balas positif.

“Memohon doa daripada pelajar dan kenalan supaya mendoakan agar Allah swt memberikan kesembuhan segera, mudah-mudahan, semoga beliau dapat dibawa pulang ke Singapura.”

Menantunya, Encik Muhammad Akid Abdul Rahman, 32 tahun, seorang jurutera risiko, menambah: “Mak memang tunjuk banyak tanda positif ke arah pemulihan... kami minta tolong berdoa untuk Mak, supaya Mak boleh cepat sembuh, Mak boleh pulang ke rumah. Itu yang kami harapkan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg