Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir kesemua 17 majlis bandaran terima penilaian tinggi bagi tadbir urus korporat

MND: Hanya Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh (BTPTC) dapat penilaian sederhana disebabkan beberapa ketidakpatuhan
Dec 11, 2024 | 6:55 PM
Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh (BTPTC) satu-satunya majlis bandaran daripada 17 yang mendapat penilaian sederhana. Baki majlis bandaran lain menerima penilaian tinggi untuk tadbir urus korporat, menurut laporan pengurusan majlis bandaran (TCMR) terkini yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 11 Disember.
Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh (BTPTC) satu-satunya majlis bandaran daripada 17 yang mendapat penilaian sederhana. Baki majlis bandaran lain menerima penilaian tinggi untuk tadbir urus korporat, menurut laporan pengurusan majlis bandaran (TCMR) terkini yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 11 Disember. - Foto fail

Hampir semua majlis bandaran di Singapura menerima penilaian tinggi untuk tadbir urus korporat, menurut laporan pengurusan majlis bandaran (TCMR) terkini yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 11 Disember.

Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh (BTPTC) satu-satunya majlis bandaran daripada 17 yang ada di sini yang mendapat penilaian sederhana disebabkan beberapa ketidakpatuhan, tambah MND.

Laporan bagi tahun kewangan (FY) 2023 dari April 2023 hingga Mac 2024 itu mendapati BTPTC tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum memulakan kerja-kerja ke atas tiga projek dan mengagihkan dana bagi kerja-kerja tersebut.

Majlis bandaran itu, yang menguruskan kawasan seperti Toa Payoh, Thomson dan Marymount, kemudian meminta kelulusan dan ia lalu diluluskan.

MND menjelaskan disebabkan berlakunya beberapa ketidakpatuhan, BTPTC mendapat penilaian tahap sederhana.

TCMR memberi penilaian sedemikian berdasarkan warna iaitu hijau bagi penilaian tinggi, ambar (kuning) bagi penilaian sederhana dan merah bagi penilaian terendah.

Laporan itu adalah bahagian kedua daripada laporan tahunan yang dikeluarkan MND.

Ia mencerminkan prestasi majlis bandaran berkenaan penyata kewangan, laporan juruaudit dan pematuhan terhadap Akta Majlis Bandaran dan peraturan lain sepanjang tahun kewangan sebelum ini.

Bahagian pertama laporan dikeluarkan pada Jun 2024 yang menilai operasi prestasi majlis bandaran seperti kebersihan dan penyelenggaraan, dengan semua majlis bandaran menerima penilaian tinggi.

BTPTC, yang pengerusinya adalah Anggota Parlimen SMC Marymount, Cik Gan Siow Huang, berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah supaya pelanggaran Akta Majlis Perbandaran tidak berulang lagi.

Ini termasuk meminta pasukan penyemakan dalaman meneliti, menilai dan mengesahkan ketepatan dan kesempurnaan butiran projek yang telah diserahkan secara berkala.

Ia juga akan memastikan bahawa ia mengeluarkan surat penganugerahan bagi setiap projek yang memerlukan kelulusan undang-undang hanya selepas ia mendapat kelulusan MND, tambah BTPTC.

BTPTC telah menerima penilaian sederhana atau ambar untuk tadbir urus korporat sekurang-kurangnya dua kali sebelum ini – bagi laporan 2014-2015 dan 2017-2018.

Ia menerima penilaian tinggi atau hijau untuk laporan sama yang dikeluarkan pada November 2023.

Selain BTPTC, MND menyatakan adanya ketidakpatuhan tahap rendah dalam tiga majlis bandaran lain iaitu bagi Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC), Majlis Bandaran Marine Parade (MPTC) dan Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee (MYTC).

AMKTC telah tersilap memperuntukkan sebahagian daripada geran pemadanan dana gantian lif kepada harta kediaman dan bukannya harta komersial.

MPTC pula tidak mendapat persetujuan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebelum pemasangan rak basikal baru.

Manakala MYTC tidak mendapat persetujuan HDB sebelum memulakan kerja-kerja ke atas harta bersama – dalam kes itu, pemasangan perintis papan pemberitahuan elektronik.

Semua kes yang dikenal pasti adalah kesilapan pentadbiran dan telah diperbetulkan, kata MND.

TCMR juga mendapati majlis bandaran secara amnya telah menambah baik kedudukan kewangan bagi FY 2023, terutama disebabkan peningkatan bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC).

Majlis bandaran di bawah Parti Tindakan Rakyat (PAP) menaikkan bayaran bulanan bagi flat, hartanah komersial serta pasar dan gerai makanan pada 1 Julai 2023, dan sekali lagi pada 1 Julai 2024.

Majlis bandaran yang dikendali Parti Pekerja (WP) turut menaikkan S&CC – Majlis Bandaran Aljunied-Hougang mengumumkan dua kenaikan S&CC, pertama pada 1 Oktober, dan yang kedua pada 1 Julai 2024, manakala Majlis Bandaran Sengkang akan menaikkan S&CC mulai 1 Mac 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg