Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keutamaan bagi anak berkahwin, bujang beli flat BTO bawah skim baru

Skim Penjagaan Keluarga (FCS) akan bermula pertengahan 2025 bagi perkukuh sokongan keluarga, galak kehidupan berdekatan antara ibu bapa, anak
Nov 6, 2024 | 8:15 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan Skim Penjagaan Keluarga (FCS) yang akan dilancarkan mulai pertengahan 2025 semasa menghadiri sesi dialog di Kelab Masyarakat The Frontier pada 6 November.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan Skim Penjagaan Keluarga (FCS) yang akan dilancarkan mulai pertengahan 2025 semasa menghadiri sesi dialog di Kelab Masyarakat The Frontier pada 6 November. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Anak – sudah berkahwin mahupun bujang – akan diberi keutamaan apabila memohon membeli flat baru untuk tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa di bawah Skim Penjagaan Keluarga (FCS) mulai pertengahan 2025.

Skim baru itu, yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada 6 November, bertujuan mengukuhkan sokongan keluarga antara generasi dengan menggalak kehidupan berdekatan ibu bapa dan anak.

Ia terdiri daripada FCS (Tinggal Berhampiran) dan FCS (Pengundian Bersama).

FCS (Tinggal Berhampiran) memberi ibu bapa dan anak mereka yang sudah berkahwin mahupun bujang, keutamaan jika mereka memohon flat baru untuk tinggal berdekatan atau bersama.

FCS (Pengundian Bersama) membolehkan ibu bapa dan anak mereka yang sudah berkahwin mahupun bujang, bersama memohon dua flat dalam projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang sama.

Encik Lee membuat pengumuman itu di sesi pertama siri dialog Kopi Talk anjuran Persatuan Rakyat (PA) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Kelab Masyarakat The Frontier di Jurong West bagi membincang sistem klasifikasi baru flat dan dasar perumahan lain.

Menurut satu kenyataan bersama MND dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 6 November, FCS (Tinggal Berhampiran) akan dilaksana pada pertengahan 2025, manakala skim FCS (Pengundian Bersama) pada hujung 2025.

Pengumuman Encik Lee menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa berucap pada Rapat Hari Kebangsaannya (NDR) pada Ogos.

Dalam ucapan NDR itu, Encik Wong berkata pemerintah akan memperluaskan keutamaan akses kepada flat BTO baru kepada semua ibu bapa dan anak mereka tanpa mengira status perkahwinan.

Semasa dialog itu, Encik Lee berkata FCS akan memberi manfaat kepada anak bujang, yang pada masa ini tidak mempunyai akses keutamaan apabila memohon flat baru untuk tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa mereka.

“Kami prihatin bahawa menjaga ibu bapa adalah penting, tidak kira sama ada anda sudah berkahwin atau bujang.

“Malah, anak-anak dewasa yang masih bujang cenderung memikul beban lebih berat menjaga ibu bapa semakin tua.

“Apabila keperluan dan aspirasi rakyat kita berubah, kita akan terus menyesuaikan dan menambah baik dasar perumahan awam kita,” kata Encik Lee.

Pada masa ini, anak sudah berkahwin yang ingin tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa, serta warga emas yang ingin tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa atau anak sudah berkahwin boleh mendapat manfaat daripada beberapa akses keutamaan semasa.

Ini termasuk Skim Keutamaan Anak Sudah Berumah Tangga (MCPS) dan Skim Keutamaan Warga Emas (SPS).

Kedua-dua skim itu akan digantikan dengan FCS (Tinggal Berhampiran) pada pertengahan 2025.

Tiada perubahan akan dibuat terhadap skim keutamaan bagi warga emas yang ingin membeli flat fleksi dua bilik berhampiran rumah sedia ada mereka.

Pada masa ini, anak sudah berkahwin atau ibu bapa yang ingin tinggal berdekatan anak mereka dalam projek BTO yang sama juga boleh meraih manfaat daripada Skim Keutamaan Keluarga Berangkai (MGPS).

Menjelang akhir 2025, MGPS akan digantikan dengan FCS (Pengundian Bersama) dan memberi manfaat kepada anak bujang juga.

Pada Oktober, HDB melancarkan klasifikasi baru flat yang antara lain membolehkan pembeli rumah kali pertama bujang yang layak memohon flat fleksi dua bilik baru merentas projek Standard, Plus dan Prime di semua lokasi.

Sebelum itu, golongan bujang hanya dibenarkan membeli flat baru di estet belum matang.

Dengan rangka kerja baru itu, mereka kini boleh membeli flat baru untuk tinggal berhampiran ibu bapa mereka yang tinggal di estet matang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg