Lebih 97 peratus jemaah haji Singapura telah selamat pulang ke tanah air dengan rombongan yang terakhir bakal pulang pada 8 Julai, kata Ketua Delegasi Haji Singapura 2024, Dr Mohamad Maliki Osman.
Berucap kepada media semasa menyambut kepulangan rombongan ketiga terakhir Singapura pada 5 Julai di Lapangan Terbang Changi, Dr Maliki, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata beliau amat berbesar hati dengan sokongan Kerajaan Arab Saudi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan haji kita kali ini, daripada pihak Kerajaan Arab Saudi, dengan sistem yang begitu teratur sekali, dengan kemudahan yang memberi kesenangan kepada para jemaah kita.
“Walaupun cuaca panas terik tidak dapat kita elakkan, dengan kemudahan yang telah disediakan, ramai jemaah kita memberi maklum balas yang begitu positif bahawa keadaan begitu baik untuk mereka menjalankan ibadah mereka,” kata Dr Maliki.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada pegawai Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta ejen penjualan pakej haji (GSA) atas kerjasama mereka untuk memastikan kesihatan, kemaslahatan dan kebajikan jemaah terjaga dengan baik.
Terminal 2 Lapangan Terbang Changi dibanjiri kehadiran anggota keluarga dan sanak-saudara pada 5 Julai, menanti kepulangan lebih 180 jemaah haji Singapura daripada tiga GSA tempatan.
Semasa di Lapangan Terbang Changi, Dr Maliki, yang diiringi Presiden Muis, Encik Saat Abdul Rahman, dan Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad, sempat beramah mesra dan bertanya khabar dengan para jemaah yang baru kembali ke Singapura.
Dr Maliki berkata SPAO akan bekerjasama dengan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) serta GSA untuk mendapatkan lebih banyak maklum balas daripada jemaah dan membincangkan perkara-perkara yang boleh diperbaiki untuk musim haji akan datang.
Ketika ditanya Berita Harian (BH) tentang maklum balas yang telah diberikan jemaah setakat ini, Dr Maliki berkata mereka memberikan maklum balas yang positif tentang pengurusan dan penjagaan kesihatan yang dikendalikan oleh SPAO dan GSA, serta kemudahan yang disediakan.
“Mereka memberi maklum balas positif tentang perkhidmatan kesihatan yang telah disediakan. Kami telah menggunakan sistem baru di mana kami mengambil sumber luar untuk perkhidmatan kesihatan.
“Kami mendapatkan perkhidmatan para doktor dan kakitangan perubatan daripada Arab Saudi kerana mereka amat biasa dan faham sistem di sana, dan ini melancarkan lagi kes yang perlu dirujukkan ke hospital,” kata Dr Maliki.
Dr Maliki dilantik sebagai Ketua Delegasi Haji 2024 untuk memimpin jemaah haji Singapura.
Semasa di sana, beliau kerap kali memberi perkembangan terkini tentang jemaah Singapura menerusi video dan catatan yang dimuat naik di platform media sosialnya.
Pada 20 Jun, menyusuli laporan yang menyatakan angka kematian yang dilaporkan pada musim haji 2024 sudah melonjak melebihi 1,000 orang, Dr Maliki berkata tiada jemaah Singapura yang terjejas teruk.
Namun, beliau menambah, terdapat segelintir yang dilaporkan demam dan sakit tekak akibat cuaca panas terik di Arab Saudi, dan pegawa SPAO dan GSA tertentu telah giat menjaga kebajikan jemaah.
Encik Mohamad Nazrul Ahmad, 42 tahun, yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama bersama isterinya, Cik Sariah Rosly, 40 tahun, memberitahu BH beliau amat bersyukur dengan perkhidmatan yang disediakan untuk menjaga kemaslahatan jemaah Singapura.
“Alhamdulillah, kami dijaga oleh Muis, Amtas dan TM Fouzy. Semua berjalan dengan lancar dan mereka menjaga kesihatan supaya kami dapat menjalankan ibadah dengan sempurna.
“Di sana, isteri saya ada sakit sedikit, dan pusat perubatan yang dikendalikan Muis begitu lancar. Kami boleh pergi online untuk mendapatkan queue, dan kemudian turun untuk ambil ubat. Senang juga buat kita,” kata Encik Nazrul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg