Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Anggota jemaah sakit ringan setiap hari lebih rendah dari 2023

Jun 21, 2024 | 5:21 PM
Ketua Delegasi Haji Singapura 2024, Dr Mohamad Maliki Osman (tengah, songkok biru) mendengar taklimat oleh Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar (dua dari kiri) semasa di Uhud, Madinah, pada 21 Jun.
Ketua Delegasi Haji Singapura 2024, Dr Mohamad Maliki Osman (tengah, songkok biru) mendengar taklimat oleh Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar (dua dari kiri) semasa di Uhud, Madinah, pada 21 Jun. - Foto ERWIN YUHANIS

Jumlah jemaah haji Singapura yang mendapatkan bantuan perubatan dari pusat perubatan setiap hari kekal sama sejak akhir hari tasyrik, dengan purata 90 kes sehari, kata Ketua Delegasi Haji Singapura 2024, Dr Mohamad Maliki Osman.

Berkongsi demikian bagi menggulung lawatan hajinya di Arab Saudi pada 21 Jun, Dr Maliki yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata jumlah itu kira-kira separuh lebih rendah berbanding 2023 dan kebanyakan kes membabitkan batuk, selsema, ketegangan otot dan keletihan.

Beliau menambah sehingga kini, kira-kira 10 peratus jemaah telah menuju ke Madinah dengan yang lain bakal tiba secara berperingkat dalam tempoh seminggu akan datang.

“Jemaah haji kami sedang menuju ke Madinah dan mereka kekal dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi.

“Peralihan daripada ritual haji yang sengit kepada persekitaran Madinah yang tenang dijangka memberikan kelonggaran... dan lebih banyak masa untuk mereka berehat dan memulihkan tenaga,” kata Dr Maliki.

Beliau menambah memandangkan suhu yang semakin meningkat dan cuaca yang mencabar, Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta ejen penjualan pakej haji (GSA) sedang giat memerhati kebajikan jemaah.

Pada 20 Jun, Dr Maliki berkata tiada jemaah yang terjejas teruk akibat cuaca panas terik di Arab Saudi, namun terdapat segelintir yang dilaporkan demam dan sakit tekak.

Beliau berkongsi demikian susulan laporan agensi berita AFP yang menyatakan angka kematian yang dilaporkan pada musim haji 2024 sudah melonjak melebihi 1,000 orang.

Bilangan jemaah yang tidak berdaftar membentuk separuh daripada mereka yang meninggal dunia di sebalik cuaca panas.

Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), berkata walaupun jemaah berdepan dengan cuaca terik, keadaan jemaah haji Singapura adalah baik dan mereka cuba menyesuaikan diri dengan cuaca panas itu.

“Semangat dan tenaga dalam kalangan jemaah haji Singapura di Makkah beberapa minggu ini, terutamanya jemaah haji warga emas kita, kekal tinggi apabila mereka berjaya menyelesaikan ibadah haji mereka.

“Pegawai kebajikan yang terlatih dari setiap GSA juga bersedia untuk memberikan keperluan perubatan segera dan merujuk mereka yang memerlukan lebih perhatian ke Pusat Perubatan SPAO.

“Kami terus memantau kesihatan mereka dengan teliti dan menasihatkan mereka jangan keluar, memperbanyakkan meminum air, dan memakai pelitup apabila mereka keluar atau berada dalam tempat yang sesak,” kata Dr Maliki.

Rombongan haji pertama Singapura bakal pulang ke tanah air pada 24 Jun.

Pada 21 Jun, Dr Maliki berkesempatan melawat Gunung Uhud bersama pegawai SPAO, diiringi Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar, serta melakukan solat Jumaat di Madinah.

Beliau, yang berangkat ke Arab Saudi pada 10 Jun bagi memimpin jemaah haji Singapura, bakal mengakhiri lawatannya dan pulang ke Singapura pada 22 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg