Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir separuh pendaftaran kereta baru 2023 hibrid

Jan 31, 2024 | 6:16 PM
Menurut angka Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kereta hibrid menyumbang 45.9 peratus bagi pendaftaran kereta baru pada 2023.
Menurut angka Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kereta hibrid menyumbang 45.9 peratus bagi pendaftaran kereta baru pada 2023. - Foto fail

Kereta hibrid petrol-elektrik merupakan kereta penumpang baru yang paling kerap didaftarkan di Singapura pada 2023, melebihi pendaftaran kereta jenis guna petrol sahaja.

Menurut angka Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kereta hibrid menyumbang 45.9 peratus bagi pendaftaran kereta penumpang baru pada 2023, atau 13,864 daripada jumlah keseluruhan 30,225.

Pada 2022, bahagian pasaran kereta hibrid ialah 37.6 peratus.

Pendaftaran kereta hibrid meningkat 19.1 peratus atau 2,224 berbanding 2022.

Sebagai perbandingan, kereta yang guna kuasa petrol sahaja menyumbang 34.6 peratus, atau 10,461 pendaftaran pada 2023.

Pada 2022, bahagian pasaran kereta petrol ialah 47.9 peratus.

Berbanding 2022, pendaftaran kereta petrol turun 29.4 peratus atau 4,356 unit.

Kenderaan elektrik (EV) membentuk 18.1 peratus atau 5,468 pendaftaran, meningkat daripada 11.7 peratus pada 2022.

Jualan EV melonjak sekitar 50 peratus pada 2023.

Jumlah pendaftaran kereta penumpang baru pada 2023 kekal stabil – turun sedikit kepada 30,225 daripada 30,939 pada 2022.

Menurut laporan The Business Times, pakar Ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berkata bahawa peningkatan pendaftaran hibrid adalah hasil daripada Skim Pelepasan Kenderaan (VES) dan pembuat kereta memperluaskan rangkaian tawaran hibrid mereka.

VES meletakkan kedudukan kereta berdasarkan prestasi pelepasannya.

Mereka yang dikategorikan sebagai lebih tercemar akan dikenakan penalti, manakala kereta yang lebih bersih menerima rebat. Ia memihak kepada kenderaan elektrik seperti hibrid dan EV, yang biasanya lebih bersih daripada kereta guna kuasa petrol sahaja.

Pada 1 Januari 2024, ambang pencemaran yang diperketatkan untuk VES telah diperkenalkan, yang meningkatkan kelebihan kereta hibrid.

Profesor Theseira menyifatkan kereta hibrid sebagai “injap pelarian dasar”.

Sebagai sebahagian daripada Pelan Hijau Singapura 2030, pendaftaran baru kereta dan teksi dengan enjin diesel tidak akan dibenarkan mulai 2025 dan mereka yang mempunyai enjin pembakaran (termasuk petrol) tidak akan dibenarkan mulai 2030.

“Larangan itu (2030) hanya terpakai kepada kenderaan yang guna kuasa enjin pembakaran sahaja, lantas mereka yang tidak bersedia untuk membeli EV dan mengetahui dasar itu akan membeli hibrid,” katanya.

Pasaran kereta hibrid kini sudah matang dan mempunyai pelbagai tawaran kerana kebanyakan pembuat kereta telah menggunakan mereka sebagai langkah sementara atau ‘stopgap’ untuk penuhi EV sekarang, katanya.

Beliau menambah bahawa memandangkan hibrid masih layak untuk dijual “sekurang-kurangnya untuk beberapa waktu”, trend kereta hibrid harus diteruskan.

Hibrid ialah kereta yang guna kuasa petrol dan elektrik. Ia memulihkan tenaga kinetik dan menyimpannya dalam bateri kecil apabila pemandu melakukan brek atau memperlahankan kenderaan dan ia tidak memerlukan pengecasan daripada sumber luaran, tidak seperti EV atau kenderaan elektrik hibrid (PHEV) plug-in.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg