Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hantaran media sosial berbaur fitnah: AGC timbang langkah selanjutnya ke atas pensyarah

Pensyarah mengaku buat dakwaan palsu ke atas Rahayu, mohon maaf dan tidak akan lakukan hantaran serupa
Oct 19, 2024 | 6:40 PM
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata bila kenyataan palsu dan berbaur fitnah dibuat, mereka yang terjejas berhak mengambil tindakan.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata bila kenyataan palsu dan berbaur fitnah dibuat, mereka yang terjejas berhak mengambil tindakan. - Foto fail

Pejabat Peguam Negara (AGC) sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan lanjut ke atas pensyarah yang membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam. 

Dalam kenyataannya pada 19 Oktober, AGC menyatakan atas permintaannya, Encik Donald Low sudah memadamkan hantarannya di Facebook pada 18 Oktober yang menghina mahkamah.

“AGC sedang menimbangkan sama ada tindakan selanjutnya diperlukan,” menurut kenyataan itu. 

Ia mengingatkan, sedang prosiding mahkamah masih berjalan, orang ramai seharusnya mengelak daripada membuat andaian tentang isu-isu yang akan diputuskan oleh mahkamah. 

Isu itu termasuk sama ada seorang saksi itu adalah berwibawa atau tidak dan jika si tertuduh itu bersalah atau tidak, tambah AGC. 

Dalam kenyataannya, AGC menyatakan tindakan sengaja menerbitkan komen awam yang memprejudis isu seperti kewibawaan saksi sedang prosiding mahkamah masih berjalan, akan menjejas prosiding mahkamah.

Ini sama dengan kesalahan menghina mahkamah, di bawah Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016, jelas AGC.

Encik Low telah mendakwa Cik Rahayu tahu tentang bukti yang disunting oleh bekas kader Parti Pekerja (WP), Cik Loh Pei Ying, semasa menyerahkannya kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) pada 2021. 

Cik Rahayu merupakan antara anggota jawatankuasa itu yang menyiasat kes bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, kerana berbohong di Parlimen.

Encik Low menulis demikian bagi mengulas bukti yang dikemukakan di hadapan Mahkamah Negara dalam perbicaraan berterusan terhadap ketua WP, Encik Pritam Singh, kerana berbohong kepada jawatankuasa parlimen. 

Dalam dua hantarannya di Facebook pada 19 Oktober, Encik Low mengaku membuat dakwaan palsu dalam hantarannya pada 18 Oktober yang berkaitan dengan Cik Rahayu, yang menjejas kewibawaannya dan keperibadiannya. 

Pensyarah kanan di Institut Dasar Awam Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong itu telah memohon maaf serta tidak akan melakukan hantaran yang sama atau serupa lagi. 

Awal dari itu, Cik Rahayu dalam satu catatan di Facebook pada 19 Oktober mengatakan beliau telah mendapatkan nasihat guaman dan para peguamnya sudah menulis surat kepada Encik Low untuk mendapatkan permohonan maaf serta menekankan pendiriannya. 

Menjelaskan lebih lanjut, Cik Rahayu berkata beliau percaya pada perbincangan rancak dan pertukaran idea.

“Semua orang berhak mempunyai pandangan yang berbeza dan bertanya soalan, tetapi mereka tidak berhak membuat tuduhan tidak berasas. Kita harus bertanggungjawab di atas kenyataan yang kita buat.

“Bila kenyataan palsu dan berbaur fitnah dibuat, mereka yang terjejas berhak mengambil tindakan.”

Tambahnya lagi, tindakan untuk menegur atau bersuara mengenai sesuatu yang salah perlu dilakukan dengan cara yang membina dan tidak membuat andaian.

Ini lebih-lebih lagi di wadah dalam talian yang mana maklumat akan menular dengan cepat dan boleh menjejas kewibawaan dan keperibadian seseorang, menurut Cik Rahayu.

“Semua orang berhak mempunyai pandangan yang berbeza dan bertanya soalan, tetapi mereka tidak berhak membuat tuduhan tidak berasas. Kita harus bertanggungjawab di atas kenyataan yang kita buat.”
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg