Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berhasrat mendapatkan nasihat guaman dan mengambil tindakan berikutan satu hantaran dalam media sosial yang berbaur fitnah terhadapnya.
Ini berkaitan peranannya dalam jawatankuasa yang menyiasat bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, kerana berbohong di Parlimen.
Semasa sesi mahkamah pada 17 Oktober, bekas kader WP, Cik Loh Pei Ying, didapati berbohong tentang mengapa beliau menyunting mesej teks dalam dokumen yang diserahkan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) pada 2021.
Dalam hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh ahli akademik, Encik Donald Low, beliau mengulas mengenai bukti yang dikemukakan di hadapan Mahkamah Negara dalam perbicaraan berterusan terhadap ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, kerana berbohong kepada COP.
Encik Low, yang merupakan pensyarah kanan di Institut Dasar Awam Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, berkata ia “kelihatan COP tersilap” dalam kesnya terhadap Pritam, kerana kesnya dibina berdasarkan dua saksi, termasuk Cik Loh, “yang ternyata tidak boleh dipercayai”.
“Seseorang kini telah mengaku mengganggu bukti – nampaknya dengan pengetahuan AP PAP,” kata Encik Low sambil menambah dalam hantarannya bahawa AP tersebut ialah Cik Rahayu Mahzam, yang merupakan anggota COP.
Cik Rahayu, yang merupakan AP GRC Jurong, berkata Encik Low telah membuat dakwaan serius terhadapnya berhubung prosiding COP, dan beliau berhasrat mengambil tindakan undang-undang.
“Dakwaan itu tidak benar dan nampaknya berunsur fitnah. Saya sedang dapatkan nasihat guaman dan berhasrat mengambil tindakan,” tulisnya di Facebook.
Pada 17 Oktober, semasa disoal siasat oleh peguam Pritam, Cik Loh mengaku bahawa beliau menyunting mesej daripada kader WP lain, Encik Yudhishthra Nathan, dalam penghujahannya kepada COP kerana “ia tidak kelihatan baik padanya”.
Encik Nathan, pada 12 Oktober 2021, mencadangkan agar Cik Raeesah terus mengekalkan pembohongannya, setelah berbohong kepada Parlimen pada 3 Ogos dan 4 Oktober tahun itu.
Mesej yang disunting berbunyi: “Pada awalnya, saya fikir kita tidak sepatutnya memberi terlalu banyak butiran. Paling banyak minta maaf kerana tidak mempunyai fakta tentang umurnya dengan tepat.”
Pada satu ketika, Cik Loh menyebut bahawa proses penyuntingan telah disahkan oleh kakitangan kanan Parlimen dan Cik Rahayu.
“Mereka baca setiap mesej sebelum saya menyuntingnya,” kata Cik Loh.
Apabila ditanya kemudian jika Cik Rahayu tahu apa yang Cik Loh sunting dan bersetuju dengan suntingan itu, Cik Loh berkata “suntingan ini adalah milik saya”, tetapi Cik Rahayu telah melihat mesej itu.
Encik Pritam, yang merupakan Ketua Pembangkang, menentang dua pertuduhan berhubung dakwaan pembohongannya kepada COP.
Beliau didakwa berbohong kepada jawatankuasa itu tentang menasihatkan Cik Raeesah supaya berterus terang mengenai anekdot tidak benar kepada Parlimen yang melibatkan mangsa serangan seksual.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg