Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hanya 17% sedar barang curiga dalam ujian sosial terkawal

Shanmugam: Usaha pupuk kesedaran, agar masyarakat waspada tentang risiko pengganasan perlu dipertingkat
Jul 30, 2025 | 5:25 PM
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam. - Foto ST

Dalam kalangan 2,530 orang yang melintasi sebuah ‘bagasi dan kenderaan yang mencurigakan’, hanya 438 orang sahaja (17 peratus) yang menyedarinya tatkala dua siri eksperimen sosial dijalankan bagi menguji tahap kewaspadaan awam terhadap ancaman pengganasan.

Sementara itu, hanya 26 orang (5.9 peratus) yang mengambil langkah memaklumkan pihak berkuasa, lantas menunjukkan pemerintah mesti melakukan lebih banyak usaha lagi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang risiko serangan pengganas, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

“Bagaimana kita menjelaskan reaksi ini? Singapura adalah tempat yang selamat, mungkin salah satu bandar paling selamat dalam saiz kita.

“Selama beberapa dekad, sudah begini. Jadi, hanya sedikit orang terfikir dari segi jenayah, pengganasan, atau sama ada sesuatu yang serius akan berlaku.

“Tahap keselamatan yang kita ada adalah baik, tetapi ia membawa cabaran besar apabila kita ingin mendidik orang ramai.

“Ia bukan persoalan sama ada ‘jika’, tetapi ‘bila’ ia (peristiwa serius seperti jenayah atau pengganasan) akan berlaku pada satu ketika,” kata Encik Shanmugam.

Penemuan dua eksperimen sosial itu dikongsi oleh Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, pada acara Pelancaran Siri Web Eksperimen Sosial SGSecure pada 30 Julai di Cineleisure yang terletak di Orchard.

Menurut Encik Shanmugam, hasil daripada kedua-dua eksperimen itu menunjukkan lebih banyak lagi perlu dilakukan, dan beliau menyeru orang ramai agar meningkatkan kewaspadaan.

Terdahulu pada Mei, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah mengumumkan bahawa beberapa eksperimen sosial akan dijalankan di kawasan perumahan dari awal hingga pertengahan Jun untuk menguji bagaimana orang ramai bertindak balas terhadap kejadian pengganasan.

Dalam eksperimen pertama, sebuah bagasi yang mencurigakan, yang mengandungi ‘alat letupan buatan sendiri’ telah diletakkan di kawasan awam yang sesak di Our Tampines Hub pada 10 Jun.

Dalam eksperimen kedua yang dijalankan di sebelah Kelab Masyarakat Bishan pada 13 Jun, sebuah kereta telah diisi dengan silinder gas yang boleh dilihat, menyerupai kenderaan yang membawa bahan letupan.

Senario yang dirancang itu, yang melibatkan pelakon dan prop realistik, dan turut merakam reaksi orang ramai, telah difilemkan bagi menghasilkan siri web pendidikan yang dilancarkan pada 30 Julai untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang usaha SGSecure.

Semasa ucapannya, Encik Shanmugam berkata walaupun Singapura mempunyai undang-undang untuk menangani kemungkinan serangan pengganas, usaha agensi pemerintah sahaja tidak boleh menjadi satu-satunya barisan pertahanan.

Encik Shanmugam berkata: “Rakyat Singapura juga perlu berwaspada dan memainkan peranan mereka sendiri.

“Malah, orang ramai merupakan bahagian barisan hadapan, peranan yang sangat besar untuk dimainkan, berwaspada, memerhatikan tingkah laku yang mencurigakan, kegiatan yang mencurigakan, dan melaporkannya dengan cepat kepada pihak berkuasa.”

MHA berkata keputusan eksperimen sosial itu berbeza daripada tinjauan tanggapan awam SGSecure 2024, apabila 77 peratus peserta mendakwa mereka secara am berwaspada dan sentiasa memerhatikan kegiatan dan tingkah laku yang mencurigakan di khalayak ramai.

Dalam tinjauan yang sama, 88 peratus responden berkata mereka akan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mereka melihat tingkah laku atau barang yang mencurigakan.

Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, yang turut hadir berkata:

“Ini menunjukkan kita masih perlu melakukan lebih banyak lagi untuk meningkatkan kewaspadaan dan kesedaran orang ramai serta kesediaan mereka untuk memerangi pengganasan.”

Semasa acara itu, sebagai sebahagian usaha meningkat kesedaran awam dan melengkapi rakyat Singapura dengan pengetahuan untuk bertindak tegas dalam kecemasan, MHA turut melancarkan siri web pendidikan baru bertajuk, ‘Apa Yang Anda Akan Lakukan Apabila Pengganasan Melanda’.

Diterajui pengacara dan deejay radio, Joakim Gomez, siri tiga episod itu bertujuan mendidik penonton tentang cara memberi tindak balas dengan berkesan dan selamat semasa kejadian pengganasan, mengukuhkan nasihat SGSecure serta peri pentingnya kewaspadaan masyarakat.

Episod pertama ditayangkan di saluran YouTube MHA pada 30 Julai, manakala dua episod seterusnya akan disiarkan pada 13 Ogos dan 27 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg