HarbourFront Centre akan menghentikan operasinya pada 27 Julai, umum pusat beli-belah tersebut dalam satu kiriman Facebook pada 20 Jun.

Pusat Kapal Persiaran Singapura pula akan dipindahkan ke 5 HarbourFront Avenue mulai 15 Julai, tambah kenyataan itu.

Lokasi baru tersebut terletak hanya 70 meter dari terminal sedia ada di HarbourFront Centre.

Pengendali Batam Fast Ferry akan menjadi penyedia perkhidmatan pertama untuk beroperasi dari terminal baru itu mulai 7 Julai. 

Manakala semua pengendali feri lain, iaitu Horizon Fast Ferry, Majestic Fast Ferry, Sindo Ferry dan Indo Falcon Shipping & Travel, serta operasi kapal persiaran akan berpindah mulai 15 Julai.

Tiada sebarang perubahan akan dilakukan terhadap laluan feri, destinasi yang ditawarkan serta jadual perjalanan menyusuli langkah pemindahan tersebut, menurut kenyataan Pusat Kapal Persiaran Singapura pada 15 Jun.

Terminal antarabangsa itu telah beroperasi di HarbourFront Centre sejak 1992.

Perkhidmatan feri ke destinasi di Indonesia termasuk Batam Centre, Harbour Bay, Sekupang, Tanjung Balai Karimun, Gold Coast dan Pulau Nirup, serta operasi pelayaran antarabangsa, akan diteruskan seperti biasa, tambah kenyataan tersebut.

Lokasi tempat berlabuh bagi feri dan kapal persiaran juga kekal tidak berubah.

Penutupan HarbourFront Centre pertama kali diumumkan pada Oktober 2025 oleh pemiliknya yang juga syarikat hartanah, Mapletree Investments.

Ketika itu, syarikat tersebut belum mengumumkan tarikh penutupan dan hanya menyatakan ia dijadualkan pada separuh kedua 2026.

Pusat beli-belah tersebut akan dibangun semula menjadi sebuah bangunan pelbagai guna yang dilengkapi dengan taman bertingkat.

Bangunan baru setinggi 33 tingkat yang merangkumi ruang pejabat dan runcit itu dijangka siap menjelang separuh pertama 2031.

Projek seluas 123,000 meter persegi itu akan menampilkan taman bertingkat seluas 13,000 meter persegi yang terletak bersebelahan dengan kawasan pesisiran pantai yang baru dibina.

Pembangunan itu juga akan menyediakan tempat letak basikal serta kemudahan bagi menggalakkan amalan perjalanan mampan dan hijau menerusi rangkaian laluan basikal pesisir pantai di kawasan Greater Southern Waterfront (GSW).

HarbourFront Centre dibuka pada 2003 selepas projek pembangunan semula bernilai $30 juta dijalankan ke atas tapak lama Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang sebelum itu selesai dibangunkan pada 1978.