Dua projek baru untuk memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab dunia sedang dirancang di Marina South, melibatkan terminal kapal persiaran dan feri bersepadu baru serta hab pameran.

Berucap di Persidangan Industri Pelancongan 2026, Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, mendedahkan bahawa pemerintah sedang meninjau kemungkinan menempatkan terminal itu bersebelahan Pusat Kapal Persiaran Marina Bay (MBCC) sebagai sebahagian daripada Greater Southern Waterfront.

Cik Fu menjelaskan bahawa kemudahan baharu itu direka untuk menyokong tiga dermaga kapal persiaran dan 10 dermaga feri.

Pada masa sama, pihak berkuasa telah mengenal pasti kawasan berhampiran stesen MRT Marina Bay sebagai lokasi cadangan bagi hab industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (Mice), yang diharap dapat melengkapi pusat sedia ada seperti Raffles City, Suntec City, dan Marina Bay Sands.

Hab Mice itu “dibayangkan sebagai pembangunan bersepadu yang menawarkan kemudahan Mica, penginapan, tempat makan, runcit, hiburan, dan pelbagai tarikan”, kata Cik Fu di persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Resorts World.

Kedudukannya berhampiran terminal kapal persiaran baru juga dijangka membuka peluang baru, katanya.

Hab itu, tambah Cik Fu, akan membolehkan Singapura menganjurkan lebih banyak acara lebih besar di pusat bandar, serta acara pelengkap secara serentak di lokasi lain.

Jadual pembangunan bagi terminal serta hab Mice itu belum diumumkan.

Paparan di persidangan itu mendedahkan bahawa terminal tersebut bakal dibina di atas tanah tambakan.

Pembinaan ini adalah sebahagian daripada rancangan menambah sekitar 213 hektar tanah di pesisir selatan Singapura, yang diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 8 April.

Menurut Cik Fu, terminal baharu itu akan memiliki keupayaan menyeluruh sebanyak 1.5 kali ganda daripada Pusat Kapal Persiaran Marina Bay (MBCC) dan dua kali ganda berbanding Terminal Penumpang HarbourFront.

“Ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan pelayaran antarabangsa, malah mengukuhkan hubungan serantau,” katanya.

Perancangan ini dibuat selepas satu kajian menunjukkan Singapura menyumbang hasil ekonomi pelayaran terbesar di Asia Tenggara pada 2024, bernilai AS$3.6 bilion ($4.6 bilion), serta menerima 48 peratus daripada 3.9 juta lawatan penumpang pelayaran di rantau ini.

Sejak 2025, Singapura turut mempelbagaikan pilihan pelayarannya dengan kapal baru menjadikan ia sebagai pelabuhan pangkalan.

Yang paling mendapat perhatian ialah kapal Disney pertama di Asia, Disney Adventure, yang memulakan pelayaran sulungnya pada 10 Mac.

Terminal baru di Marina South itu telah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan mengkaji keperluan kemudahan kapal persiaran dan feri baru bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam jangka sederhana hingga panjang.

Pada Mei 2024, ST melaporkan rancangan menggabungkan dua terminal pelayaran sedia ada Singapura, dengan pusat pelayaran di HarbourFront dipindahkan bagi mewujudkan persiaran berterusan sebagai sebahagian daripada Greater Southern Waterfront.

Pembinaan hab pameran ini menekankan peranan Mice sebagai tonggak berharga dalam merangsang ekonomi pelancongan Singapura.

Pengunjung perniagaan adalah penyumbang utama; perbelanjaan mereka, meliputi penginapan, jamuan dan hiburan korporat, dianggarkan STB dua kali ganda lebih tinggi daripada pelancong santai.

Selain itu, pengunjung Mice mempunyai kaitan strategik dengan industri utama Singapura yang sedang pesat membangun merangkumi teknologi, penjagaan kesihatan, kemampanan dan kewangan.

Cik Fu menyatakan hab baharu ini akan mencipta “rangkaian Mice yang rancak, menyatukan kerja dan hiburan,” memandangkan ia terletak dalam lingkungan 3km dari pusat pameran sedia ada.

Beliau berkata delegasi yang menghadiri acara di hab Mice itu boleh menikmati pelbagai tarikan, termasuk kemudahan kesejahteraan Therme Singapore dan sebahagian Gardens by the Bay yang dibangunkan semula.

Cik Fu berkata portfolio Mice Singapura akan berkembang melalui kerjasama strategik industri. 

Sebagai contoh, STB telah menjalin kerjasama selama dua tahun dengan Akademi Perubatan, Singapura (AMS) bagi mewujudkan “peluang untuk menganjurkan lebih banyak persidangan bertaraf terbaik yang menyokong pembangunan karyawan masyarakat perubatan”.

Beliau juga berkata 22 hotel bergabung melancarkan inisiatif Singapore Hotels Incentives for Business Events (Insentif Hotel Singapura bagi Acara Perniagaan).

Hotel terbabit merangkumi satu perempat daripada jumlah bilik hotel di Singapura, dengan langkah itu menawarkan pakej penginapan menarik kepada penganjur mesyuarat, meningkatkan daya saing Singapura bagi bidaan Mice lebih besar, katanya.

Acara Mice utama yang diadakan baru-baru ini termasuk World Sleep Congress 2025 (Kongres Tidur Sedunia 2025) dan edisi pertama di Asia bagi HealthTechX Asia 2025 serta LSI Asia 2025, sebuah sidang kemuncak teknologi perubatan.

Singapura juga akan menjadi tuan rumah acara penting pada 2026, termasuk World Cities Summit 2026, Medical Fair Asia 2026 dan Passenger Terminal Expo Asia.

Sebagai pengerusi Asean pada 2027, Singapura juga akan menganjurkan lebih 250 mesyuarat Asean pelbagai peringkat, termasuk Forum Pelancongan Asean pada Januari 2027.

Pada 2024, Singapura menerima sekitar 1.1 juta pengunjung Mice yang menjana $1.7 bilion hasil pelancongan, melepasi tahap sebelum pandemik pada 2019 apabila 730,000 pengembara Mice menyumbang $1.4 bilion.