Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerminal feri baru mula operasi secara berperingkat mulai 7 Jul
Terminal feri baru mula operasi secara berperingkat mulai 7 Jul
Terminal feri baru mula operasi secara berperingkat mulai 7 Jul
Kesemua operasi feri dan kapal persiaran bakal berpindah ke terminal Pusat Kapal Persiaran yang baharu di HarbourFront melalui dua fasa, mulai Julai 2026.
Pengendali Batam Fast Ferry akan menjadi penyedia perkhidmatan pertama untuk beroperasi dari terminal baharu itu mulai 7 Julai, sebelum pengendali feri lain, iaitu Horizon Fast Ferry, Majestic Fast Ferry, Sindo Ferry dan Indo Falcon Shipping & Travel, serta operasi kapal persiaran berpindah mulai 15 Julai.
Menurut Pusat Kapal Persiaran Singapura (SCC) dalam kenyataan media pada 15 Jun, pemindahan itu tidak akan menjejas laluan feri, destinasi yang ditawarkan atau jadual perjalanan.
Malah, khidmat feri ke destinasi seperti Batam Centre, Harbour Bay, Sekupang, Tanjung Balai (Karimun), Gold Coast dan Nirup Island, serta operasi kapal persiaran antarabangsa akan berjalan seperti biasa.
Lokasi feri dan kapal persiaran berlabuh juga tidak berubah.
Terminal baharu itu, yang terletak di 5 HarbourFront Avenue, berada kira-kira 70 meter dari terminal sedia ada di Pusat HarbourFront.
Ia terletak di belakang HarbourFront Tower 2 dan berhadapan dengan pintu masuk kondominium The Reef at King’s Dock.
Orang ramai digalakkan agar menggunakan pengangkutan awam yang boleh diakses melalui stesen MRT HarbourFront kerana tempat meletak kereta di kawasan itu terhad, kata SCC.
Laluan berbumbung juga disediakan bagi pejalan kaki antara terminal baharu itu dengan stesen MRT HarbourFront dan pusat beli-belah VivoCity.
Dalam pada itu, penumpang Batam Fast Ferry yang melakukan perjalanan mulai 7 Julai dinasihatkan tiba lebih awal bagi membiasakan diri dengan lokasi dan kemudahan baharu itu.
Terminal baharu itu menawarkan prasarana dan perkhidmatan yang dipertingkat dan berasaskan teknologi bagi melancarkan pengalaman penumpang.
Ia termasuk kemudahan seperti premis makanan dan minuman, kedai serbaneka serta khidmat tukaran wang.
Butiran lanjut mengenai kemudahan dan perkhidmatan lain akan diumumkan semasa pembukaan rasminya pada hujung 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SCC, Cik Jacqueline Tan, berkata perjalanan serantau terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan orang ramai dan perniagaan di rantau ini.
“Terminal baharu ini memberi peluang untuk mempertingkat pengalaman penumpang dan mencerminkan komitmen kami dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar dan cekap,” katanya.
Selain terminal itu di HarbourFront, SCC, yang dimiliki syarikat hartanah, Mapletree Investments, turut mengendalikan Terminal Feri Tanah Merah dan Terminal Feri Pasir Panjang.
Pada 2025, syarikat itu turut mengumumkan pusat beli-belah Pusat HarbourFront akan ditutup pada separuh kedua 2026 bagi kerja pembangunan semula.
Bangunan baharu setinggi 33 tingkat yang bakal menempatkan ruang pejabat dan runcit itu dijangka siap menjelang separuh pertama 2031.
