Harga COE Kategori B turun 8.8%, premium semua kategori jatuh
Harga COE Kategori B turun 8.8%, premium semua kategori jatuh
Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta lebih besar turun 8.8 peratus kepada $110,890 dan premium merosot bagi semua kategori pada 4 Februari.
Harga COE Kategori A, yang dikhaskan untuk kereta dan kenderaan elektrik (EV) lebih kecil dan kurang berkuasa, ditetapkan pada $106,320, turun 2.9 peratus berbanding $109,501 pada bidaan sebelumnya, pada 21 Januari.
Premium COE Kategori B bagi kereta dan EV lebih besar dan lebih berkuasa merosot daripada $121,634 pada bidaan sebelumnya kepada $110,890.
Ini merupakan penurunan paling besar antara lima kategori COE dalam bidaan terkini.
Harga COE Kategori Terbuka (Kategori E) pula susut 4 peratus kepada $116,000, daripada $120,891 dalam bidaan sebelumnya.
COE Kategori Terbuka boleh digunakan untuk mendaftar sebarang jenis kenderaan kecuali motosikal, namun kebanyakannya digunakan untuk kereta lebih besar.
Memandangkan COE Kategori Terbuka boleh dipindah milik, ramai pengedar kenderaan mendapatkannya bagi memberi fleksibiliti untuk mendaftarkan kereta, tanpa perlu menunggu pusingan bidaan seterusnya.
Premium COE bagi kenderaan komersial (Kategori C) turun 0.5 peratus, daripada $75,202 kepada $74,801.
Premium COE bagi motosikal (Kategori D) pula jatuh 6.4 peratus, daripada $8,860 kepada $8,289.
COE diperlukan untuk mendaftar dan menggunakan kenderaan di Singapura dan ini merupakan bidaan pertama daripada enam pusingan bidaan di bawah tempoh kuota tiga bulan semasa, dari Februari hingga April.
Selepas bidaan 4 Februari ditutup, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata harga COE kekal tinggi, walaupun terdapat penurunan baru-baru ini, mencerminkan permintaan yang berterusan.
LTA menasihati pembeli dan pengedar kereta supaya berhemat dalam membida COE.

