Bekalan COE turun 0.8 peratus, kali pertama susut sejak Nov 2022

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekalan COE turun 0.8 peratus, kali pertama susut sejak Nov 2022

Penurunan pertama dicatatkan bagi bekalan COE tiga bulan sejak Nov 2022 hingga Jan 2023
Jan 22, 2026 | 8:01 PM

Bekalan COE turun 0.8 peratus, kali pertama susut sejak Nov 2022

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
COE, susut, turun,  bidaan Feb-April
Secara keseluruhan, 18,824 sijil akan tersedia untuk bidaan. - Foto ST

Jumlah Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) yang ditawarkan susut sebanyak 160, atau 0.8 peratus, bagi tempoh bidaan Februari hingga April, berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya.

Penurunan ini merupakan yang pertama dicatatkan bagi bekalan COE tiga bulan sejak tempoh November 2022 hingga Januari 2023, di mana ia susut 13.8 peratus.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 22 Januari, sejumlah 18,824 sijil akan tersedia untuk bidaan, lebih rendah daripada 18,984 COE yang ditawarkan bagi November 2025 hingga Januari 2026.

Bekalan COE Kategori A (kereta kecil/EV kurang berkuasa) susut 1 peratus kepada 7,585 sijil, daripada 7,662 sebelum ini.

Sebaliknya, Kategori B (kereta/EV besar, lebih berkuasa) menyaksikan peningkatan 1.7 peratus kepada 4,864 sijil, berbanding 4,783 sijil sebelum ini.

Kategori C (kenderaan komersial) juga meningkat 3 peratus, dengan 1,742 sijil ditawarkan berbanding 1,692.

Sementara itu, Kategori D (motosikal) kekal stabil pada 3,198 sijil.

Penurunan paling ketara, 13 peratus, dicatatkan dalam Kategori E (terbuka), susut daripada 1,649 kepada 1,435 sijil.

Bekalan COE terutamanya ditentukan oleh purata kenderaan yang tamat pendaftaran dalam empat suku tahun sebelumnya.

LTA juga memajukan COE daripada kenderaan yang bakal tamat pendaftaran dan menyuntik sijil tambahan untuk beberapa tahun akan datang.

COE wajib untuk pendaftaran kenderaan di Singapura.

Sejak 2018, LTA mengekalkan kadar pertumbuhan kenderaan sifar bagi semua kategori COE kecuali kenderaan komersial, yang dibenarkan berkembang 0.25 peratus setahun. Dasar ini berkuat kuasa sehingga 31 Januari 2028.

Langkah memajukan COE yang bakal tamat tempoh bertujuan memantapkan bekalan.

LTA juga memaklumkan suntikan COE tambahan dibuat berdasarkan perubahan corak perjalanan, termasuk penurunan jarak perjalanan kenderaan dan peralihan kepada sistem ERP baharu yang membolehkan pengurusan kesesakan lalu lintas yang lebih efektif.

Bagi Februari hingga April, jumlah COE yang dimajukan dan disuntik tambahan ialah 3,041 sijil, lebih rendah daripada 3,646 sijil dalam tempoh sebelumnya.

Bilangan COE yang diperkenalkan bagi setiap tempoh bekalan tidak mengikut sebarang garis panduan yang ketat atau tepat.

Pengumuman bekalan COE terbaru ini dibuat sehari selepas penutupan pusingan bidaan di mana premium kereta melonjak susulan Singapore Motorshow dari 8 hingga 11 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg