Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) berakhir lebih tinggi dalam tender terbaru pada 17 Januari, dengan kategori bagi kereta lebih besar ditutup pada $112,000 – lonjakan 31.7 peratus daripada dua minggu sebelumnya.
Ini adalah tender terakhir di bawah tempoh kuota tiga bulan semasa, dan selepas acara Singapore Motorshow yang berakhir pada 14 Januari. Acara itu meningkatkan jualan kereta dan mendorong permintaan bagi COE.
Premium bagi COE Kategori B, untuk model kenderaan lebih besar, lebih berkuasa, meningkat hampir $27,000 kepada $112,000.
Premium COE untuk Kategori A – bagi model lebih kecil dan kurang berkuasa – berakhir pada $81,589, atau kenaikan 25.5 peratus berbanding $65,010 yang dicatatkan sebelum ini.
Harga bagi COE kategori Terbuka pula ditutup pada $109,004, iaitu 2.5 peratus lebih tinggi berbanding $106,388 sebelum ini.
Premium COE bagi kenderaan komersial meningkat sebanyak 0.6 peratus daripada $67,599 kepada $68,001.
Premium COE motosikal pula naik 2.1 peratus daripada $9,114 kepada $9,309.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg