Suntikan sehingga 20,000 Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) tambahan dalam tempoh beberapa tahun mendatang akan membenarkan pihak berkuasa memenuhi janji sebelum ini untuk meningkatkan bekalan COE sebelum ramalan kemuncak bagi bekalan pada 2026, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Beliau berkata demikian di Parlimen pada 12 November sebagai menjawab soalan daripada para Anggota Parlimen (AP) mengenai pengumuman Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 30 Oktober.
LTA berkata ia akan meningkatkan jumlah kenderaan sehingga dua peratus daripada bilangan semasa mulai Februari 2025, sedang tabiat perjalanan kian berubah.
“Pihak pemerintah sebelum ini berkata bahawa kuota COE bagi Kategori A, B dan C akan terus meningkat pada setiap suku tahun sebelum mencapai ramalan bekalan kemuncak pada 2026.
“COE tambahan akan memberi lebih fleksibiliti untuk memenuhi komitmen ini dan seterusnya meningkatkan bekalan COE dalam beberapa suku mendatang, sebelum kami mencapai ramalan kemuncak bagi bekalan mulai 2026,” ujar Encik Chee.
Beliau menambah LTA akan terus memantau keadaan trafik dengan teliti dan, jika perlu, “melaraskan caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) untuk mengawal kesesakan lalu lintas”.
Mengenai kesan penambahan COE ke atas premium, Encik Chee berkata peningkatan bekalan akan membantu menyederhanakan harga.
Namun, ia juga bergantung kepada permintaan – yang buat masa ini kukuh – terutamanya dalam kalangan pembeli individu Singapura.
Dalam tender terkini pada 6 November, COE Kategori A digunakan untuk mendaftarkan kereta lebih kecil dan kenderaan elektronik.
Bagi Kategori B, ia dikhususkan untuk kenderaan berkuasa lebih tinggi, tambah beliau.
Para AP pada 12 November telah menimbulkan kebimbangan mengenai suntikan LTA sehingga 20,000 COE, mempersoalkan kesannya terhadap kesesakan jalan raya dan sasaran ‘car-lite’ atau hampir bebas kenderaan Singapura.
Sebagai respons, Encik Chee berkata visi ‘car-lite’ tidak bermakna jumlah kereta secara keseluruhan tidak boleh berkembang.
Menjawab pertanyaan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang), yang bertanya sekiranya pemerintah ada sasaran tertentu untuk mengukur tahap kejayaan visi tersebut, beliau berkata:
“Visi bebas atau kurang kereta tidak bermakna tiada kereta secara langsung. Ia juga tidak bermakna pemerintah mahu mengurangkan jumlah kereta. Apa yang kita mahu uruskan ialah kesesakan,” tambah Encik Chee.
Tambahan pula, peningkatan pada jumlah kenderaan tidak membawa kepada peningkatan pada penggunaan kereta secara serta-merta.
Sebabnya, pemilik kereta masih boleh memilih untuk menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja, atau menggunakan kereta mereka di luar waktu sibuk, ujar beliau.
Sebaliknya, teras penting adalah untuk mengelakkan kesesakan dengan mengawal pemilikan kereta, melalui kaedah sistem COE misalnya, serta harga berasaskan penggunaan, kata beliau lagi.
Beliau mengulangi hujah yang dibuat sebelum ini oleh LTA bahawa pengurangan penggunaan kenderaan antara 2019 dengan 2023 telah memberi kelonggaran kepada pihak berkuasa untuk menambah bekalan COE.
Perangkaan LTA, katanya, menunjukkan jumlah penggunaan kenderaan di Singapura turun kira-kira enam peratus dari 2019 hingga 2023.
Jumlah trafik di pusat bandar juga lebih rendah, dengan gantri ERP di luar pusat bandar dan jalan sisip seperti Toa Payoh Lorong 5 belum diaktifkan, tambahnya.
Dengan sistem ERP berasaskan satelit baru, atau ERP 2.0, Encik Chee berkata LTA akan mempunyai lebih banyak alat untuk menguruskan kesesakan, kerana sistem itu akan menyediakan maklumat trafik terkumpul yang lebih komprehensif.
Walaupun ERP 2.0 mempunyai keupayaan untuk mengenakan caj ke atas penggunaan kereta mengikut jarak perjalanan, Encik Chee berkata tiada keputusan telah dibuat sama ada untuk melancarkannya.
Beliau juga menegaskan bahawa suntikan 20,000 COE tambahan yang dirancang tiada kaitan dengan pelaksanaan caj berasaskan jarak.
Tetapi beliau tidak menolak kemungkinan penambahan lagi bekalan COE, sekiranya pihak berkuasa memutuskan untuk meneruskan caj berasaskan jarak pada masa hadapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg