Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) pada 3 Disember turun bagi kebanyakan kategori kecuali bagi kenderaan komersial, dengan premium bagi kereta bersaiz besar (Kategori B) jatuh 4.6 peratus kepada $123,900.
Harga sijil Kategori A, yang diperuntukkan bagi kereta lebih kecil dan kurang berkuasa serta kenderaan elektrik (EV), turun kepada $105,413, kira-kira 3.3 peratus lebih rendah berbanding $109,000 pada bida COE 19 November.
Premium COE Kategori B bagi kereta lebih besar dan berkuasa tinggi serta EV menurun sebanyak 4.6 peratus, daripada $129,890 pada bida sebelum ini.
Premium Kategori Terbuka (Kategori E) pula merosot sebanyak 1.6 peratus, daripada $125,001 kepada $123,000, lapor The Straits Times (ST).
Sijil kategori terbuka boleh digunakan untuk mendaftar mana-mana jenis kenderaan kecuali motosikal, tetapi kebanyakannya digunakan untuk kereta bersaiz besar.
Oleh kerana sijil itu boleh dipindah milik, ia memberi fleksibiliti kepada pengedar kereta untuk mendaftar kenderaan tanpa perlu menunggu bida seterusnya.
Bagi kenderaan komersial (Kategori C), kadar COE adalah $76,501, iaitu 0.1 peratus lebih tinggi daripada $76,389 dua minggu lalu.
Premium COE bagi motosikal (Kategori D) turun sebanyak 5 peratus, daripada $8,729 kepada $8,289.
COE memberikan seseorang hak untuk memiliki dan menggunakan kenderaan di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg