Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) turun bagi semua kategori pada 5 November, dengan harga COE bagi kereta lebih kecil jatuh kepada $110,002, manakala sijil pemilikan kereta besar pula turun kepada $115,001.
Ini adalah tender kedua berturut-turut yang menyaksikan premium bagi COE yang digunakan untuk mendaftar kereta mencatat penurunan.
COE Kategori A – yang merangkumi kereta serta kenderaan elektrik (EV) lebih kecil dan kurang berkuasa – mencatat penurunan sebanyak 9.8 peratus kepada $110,002, berbanding $122,000 pada tender sebelum ini.
Harga COE Kategori A meningkat secara berperingkat sejak tender pertama pada Jun dan kemudian mencapai rekod tertinggi $128,105 pada tender pertama Oktober.
Bagi Kategori B yang terdiri daripada kereta serta EV lebih besar dan lebih berkuasa, harga premium adalah $115,001.
Ia mencatat penurunan sebanyak 12.8 peratus berbanding $131,889 pada tender 23 Oktober sebelum ini.
Menurut para peniaga kereta, meskipun premium COE turun pada tender sebelum ini, bilangan pelanggan yang mengunjungi bilik pameran masih belum meningkat seperti dijangkakan, lapor The Straits Times (ST).
Selain itu, sebilangan peniaga berkata promosi jualan di pelbagai pusat membeli-belah dalam dua minggu lalu tidak berkesan untuk menarik lebih banyak pelanggan, kerana pengguna kini lebih cenderung menunggu premium COE terus menurun sebelum membuat keputusan membeli kereta.
Premium Kategori Terbuka, atau Kategori E, turun 11 peratus daripada $136,000 kepada $121,010 dalam tender kali ini.
Walaupun sijil Kategori Terbuka boleh digunakan untuk mendaftarkan mana-mana jenis kenderaan kecuali motosikal, ia biasanya digunakan untuk kereta lebih besar dan berkuasa tinggi.
Bagi kenderaan komersial di bawah Kategori C, kadar COE menurun 1 peratus kepada $76,000, berbanding $76,801 yang direkodkan pada tender sebelum ini.
Premium COE motosikal, atau Kategori D pula turun 8.4 peratus, daripada $9,389 kepada $8,600.
Selepas penutupan tender, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan penurunan harga premium serta menasihati pembeli kereta serta peniaga supaya terus berhati-hati dalam membuat bidaan untuk COE.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg